Gambar Hiasan |
KEBELAKANGAN ini, terdapat keperluan untuk menegaskan semula Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) sebagai Mazhab Akidah Teras umat Islam di Malaysia.
Penegasan sedemikian, selain lanjutan sejarah sebenar perkembangan Islam di Alam Melayu, juga menjelaskan lagi kandungan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia berkenaan Islam sebagai Agama Persekutuan.
Bagaimanapun, penekanan tersebut perlu sentiasa dipandu oleh kesedaran dan kefahaman yang betul bagi mengelakkannya sekadar menjadi slogan ikutan yang dipertahan dengan kuasa semata-mata.
Kesedaran dan kefahaman yang dimaksudkan itu sekurang-kurangnya perlu merangkum tiga perkara berikut:
Pertama, ASWJ sesungguhnya penzahiran sebenar pendirian yang wasat, iaitu adil-beradab, dalam berdepan dengan pelbagai pegangan dan kecenderungan melampau.
Misalnya, antara melampau dalam menobatkan cuma akal sebagai sandaran ilmu dan keyakinan sebagaimana yang dipegang oleh sekelompok ahli falsafah dan melampau dalam bersandarkan hanya riwayat dan naqal untuk memperoleh ilmu yang pasti seperti kelihatan pada segelintir ahli hadis tegar; antara melampau dalam menafikan sama sekali sifat-sifat Tuhan untuk mempertahan kesatuan dan ketunggalan-Nya dan melampau dalam mengiyakan sifat-sifat-Nya sehingga sama seperti yang terdapat pada insan; antara melampau dalam menafikan kehendak dan kuasa insan demi mengiyakan kehendak dan kuasa Tuhan dan melampau dalam menafikan kehendak dan kuasa Tuhan demi mempertanggungjawabkan insan atas kelakuannya; antara melampau dalam menafikan al-Quran sebagai Kalam Allah yang qadim dari segala segi dan melampau dalam mengiyakan al-Quran sebagai Kalam-Nya yang qadim sehingga merangkum dakwat dan kertas mushaf; antara melampau dalam menyalahkan Saidina Ali dalam ijtihad baginda sehingga menghalalkan darahnya dan melampau dalam membenarkan baginda dan keturunannya sehingga menyalahkan semua sahabat yang tiada bersependapat dengannya; antara melampau dalam mengkafirkan setiap Muslim yang berdosa dan melampau dalam meringan-ringan segala dosa; dan lain-lain yang seumpama semua itu.
Oleh kerana pendirian wasat ini, tokoh-tokoh ilmuwan utama ASWJ dalam pegangan dan amalan mereka berjaya mencontohkan keseimbangan antara sifat inklusif dan sifat eksklusif ketika berdepan dengan aneka aliran pemikiran dan ajaran sehingga dapat memanfaatkan apa-apa yang baik serta menghindari segala yang buruk.
Kedua, dalam penzahiran ASWJ di pentas sejarah dan selari dengan beberapa riwayat hadis Baginda Nabi SAW, gelaran salaf merujuk kepada generasi dalam tiga atau empat kurun pertama sejak zaman Rasulullah SAW, manakala khalaf pula ada gelaran untuk generasi yang muncul selepas tiga-empat kurun itu.
Malah, sebagaimana yang berlaku dalam sejarah, pada generasi salaf itu, termasuk dalam kalangan para sahabat Nabi SAW, sudah sedia terdapat perbezaan pendekatan dan kaedah.
Pendekatan dan kaedah berbeza ini kemudiannya berlanjutan dan berkembang dalam generasi khalaf. Pembahagian salaf-khalaf ini justeru bersifat kronologi (atau urutan masa) dan tidak sama sekali bermaksud manhaj atau kaedah yang benar dan yang salah.
Sehubungan itu, dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka ‘Salafi’ dengan makna “ajaran, pendekatan dan kaedah mereka menuruti generasi salaf dan justeru berbeza dengan generasi khalaf” sesungguhnya dakwaan yang sangat perlu diawasi kerana mempunyai ciri melampau dan cenderung untuk memecahbelahkan umat Islam.
Ketiga, dari segi rumusan, penyusunan dan penghuraian ajaran akidah yang zahir berkembang dalam generasi khalaf, ASWJ merangkum tiga mazhab utama, iaitu: Asha‘irah (bernisbahkan Imam al-Ash‘ari), Maturidiyyah (bernisbahkan Imam al-Maturidi) dan Hanabilah (bernisbahkan Imam Ahmad b. Handal).
Sangat menarik untuk kita perhatikan bahawa dengan pemerluasan wilayah pemerintahan Islam dan peningkatan bilangan orang Islam, hanya Hanabilah yang kekal sama sebagai mazhab akidah dan fiqh sedangkan secara umumnya orang Islam yang dari segi akidahnya bermazhab Asha‘irah dari segi fiqhnya pula bermazhab Shafi‘i ataupun Maliki, manakala yang dari segi akidahnya bermazhab Maturidiyyah dari segi fiqhnya sering bermazhab Hanafi.
Tambahan lagi, sekiranya dilihat dari segi keluasan perkembangan, berbeza dengan mazhab Hanabilah yang cenderung bertumpu di Semenanjung Arab semata, mazhab Asha‘irah dan Maturidiyyah pesat maju ke hampir setiap daerah yang dihuni oleh kaum Muslimin, termasuk kawasan-kawasan yang terlebih dahulu didiami oleh penganut agama dan warga Peradaban sebelum Islam.
Justeru, dalam memelihara, mempertahan, mengembangkan dan memupuk ajaran Islam, termasuk dasar-dasar akidahnya, tokoh-tokoh terkemuka kedua-dua mazhab ASWJ ini sering perlu berhujah dengan sangat baik lagi meyakinkan ketika berdepan secara ilmiah dengan barisan cendekiawan, sarjana pemikir, dan ahli sains agama-agama dan tamadun bukan Islam itu.
Justeru, dalam karya-karya tokoh-tokoh tersebutlah sebenarnya terkandung contoh gemilang Dialog Peradaban Aras Tinggi yang masih relevan dan sangat perlu kita manfaatkan semula, khasnya di peringkat pendidikan tinggi.
Malah, dialog tamadun sedemikian adalah sebahagian isi kandungan utama disiplin pengajian yang dikenali dengan beberapa nama: al-fiqh al-akbar (fiqh utama atau induk), usul al-din, atau ilmu al-kalam. Umat Islam kini sesungguhnya masih bertuah kerana banyak kitab utama dalam jurusan ilmu ini masih terpelihara dan dapat ditelaah sehingga kini.
Cuma, yang sangat diperlukan sekarang adalah,
(1) penyediaan kemudahan institusi terjamin bagi para sarjana dan cendekiawan semasa yang jelas terbukti pencapaian, ketokohan dan sumbangan mereka dalam bidang ini untuk menyelidik, berkarya dan mendidik ilmuwan-ilmuwan pelapis seterusnya;
(2) peruntukan dana yang sewajarnya secara lestari bagi menjamin tuntutan kefarduan bidang ini berpanjangan dipenuhi; dan
(3) pemilihan tenaga-tenaga geliga dalam kalangan umat untuk menekuni bidang ini dalam suasana cabaran pemikiran semasa.
*DR. MOHD. ZAIDI ISMAIL , PENULIS ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)/Utusan