Salah sebuah masjid di bandar raya Hawthorne diconteng dengan cat. - Foto AP |
HAWTHORNE – Dua masjid di bandar raya Hawthorne diconteng dengan cat dan sebutir bom tangan palsu ditinggalkan di jalan masuk salah satu bangunan berkenaan, kata polis, sambil menambah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) membantu menyiasat tindakan vandalisme itu.
Jabatan Polis Hawthorne berkata, pihaknya menerima laporan awal semalam kemungkinan peranti letupan ditinggalkan di luar Masjid Baitus-Salaam Komuniti Islam Ahmadiyya.
Polis menemui replika bom tangan dan perkataan ‘Jesus’ disembur dengan cat putih pada pintu besi masjid. Tidak lama kemudian, jabatan itu menerima panggilan kedua melaporkan ayat ‘Jesus dalam perjalanan’ dicat di bahagian depan Pusat Islam Hawthorne.
Polis berkata, perbuatan itu berlaku pada tengah malam dan kedua-duanya dianggap jenayah benci.
Jumaat lalu, pihak berkuasa menahan lelaki berusia 23 tahun, Carl James Dial Jr dari Palm Desert berkaitan kebakaran di Pusat Islam Palm Springs.
Dia ditahan untuk siasatan berhubung jenayah benci, khianat, memulakan kebakaran dengan niat jahat dan mencuri. – AP