Isteri Ezany Tegas Lelaki Itu Saudara Dekat, Gambar Dirakam Sebelum Kahwin

Lizda Nuryanti Abidin
Lizda Nuryanti Abidin yang merupakan isteri kepada pelakon, Ezany, menjelaskan bahawa lelaki yang didakwa suaminya sebagai "skandal" yang membuktikan kecurangannya adalah saudara terdekatnya.

Menurut Lizda, gambar yang dijadikan Ezany sebagai modal menuduhnya curang itu sebenarnya telah dirakam lama sebelum mereka bergelar suami isteri dan tuduhan yang dilemparkan itu turut menjejaskan kehidupan saudara lelakinyaitu.

"Hasil permainan Ezany, ia memberi impak kepada kehidupan lelaki yang didakwa sebagai skandal saya," tegas Lizda membidas kenyataan balas Ezany yang menuduhnya ditinggalkan "skandal"nya dan menikahi gadis lain.

Selain itu, Lizda turut mengatakan bahawa Ezany mempunyai "skandal" dengan wanita lain, namun dia tetap bertahan dan bersabar mengenangkan anak.

"Apa yang boleh saya kata, Ezany juga mempunyai hubungan dengan wanita lain ketika perkahwinan kami, tetapi saya bertahan kerana anak," katanya yang dipetik dari myMetro, hari ini.

Ezany dakwa isterinya curang sebelum ini
Tidak lagi mampu bersabar dengan tohmahan di sebalik krisis rumahtangga dengan Ezany, Lizda meminta supaya dia "dilepaskan bebas" dan nekad untuk tidak menuntut harta sepencarian atau bayaran mutaah dari suaminya itu.

"Satu sen duit harta sepencarian atau bayaran mutaah tidak akan saya ambil. Apa yang penting, lepaskanlah saya secara baik dan hentikanlah mengaibkan hidup saya.

"Saya bukan pelakon dan kehidupan yang saya lalui adalah realiti. Saya tidak pernah menipu. Tujuh tahun saya cuba mempertahankan perkahwinan ini dan sudah tiada air mata lagi kerana sering menangis mengenangkan nasib.

"Ramai yang tidak tahu keperitan yang saya lalui dan tanggungjawab sebagai isteri tidak pernah saya abaikan. Makan minum saya buat untuk dia," luahnya lagi.

Kata Lizda lagi, dia terpaksa membuka mulut untuk memberitahu perkara sebenar kepada masyarakat umum kerana sudah tidak tahan dan malu dengan tohmahan orang ramai yang mempersalahkan dirinya.

"Saya sudah tidak dapat menangis lagi. Kisah perceraian kami umpama gantung tidak bertali dan saya tidak mahu tunggu lagi.

"Selama ini saya berdiam kerana saya tak tahu saluran mana untuk mempertahankan diri tetapi hari ini saya dah ada kekuatan untuk berdepan situasi ini

"Sebab itu, saya minta dia selesaikan masalah kami segera. Cukuplah dengan cerita yang penuh imaginasi itu," rayu Lizda yang masih merupakan isteri Ezany yang sah.

Difahamkan bahawa pasangan itu sudah lebih setahun tidak hidup sebumbung selepas Lizda bertindak meninggalkan Ezany dan kini berada di Tawau, Sabah.


Lizda dan Ezany berkahwin pada 1 Julai 2007 dan dikurniakan dua anak iaitu Rayyan Harraz, 4, dan Hayden Harraz, 2.

Pada 17 Julai 2014, Lizda memfailkan cerai terhadap Ezany, namun pelakon itu sudah mendapat perintah Mahkamah Rendah Syariah Petaling untuk menolak permohonan itu kerana mengaku membuat permohonan nusyuz (perintah kembali taat) terhadap Lizda pada 22 Julai 2014.

Selain itu, Ezany juga memfailkan dua tuntutan di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung hak penjagaan sementara dan hak penjagaan kekal terhadap dua anak mereka. -Kedahnews.com