Gambar Hiasan |
IPOH - Seorang wanita berusia 68 tahun yang merupakan isteri kedua kepada seorang pesara bergelar ‘Datuk’ maut ditetak dengan parang di bahagian leher di kediamannya di Taman Lake View, Taiping, kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Harith Kam Abdullah berkata, ketika kejadian yang berlaku sekitar jam 7.30 malam itu, pasangan suami isteri terbabit telah dikunjungi oleh saudara perempuan terdekatnya yang berusia 78 tahun bersama seorang pekerja lelakinya yang berusia 57 tahun.
Sejurus selepas kedua-dua tetamu masuk ke dalam rumah tersebut, secara tiba-tiba dua lelaki lain yang menggunakan topeng dan memakai topi keledar meluru masuk ke dalam rumah.
Selepas itu, dalam situasi sama, salah seorang suspek telah bertindak mengikat suami mangsa dengan kain selendang tetamu wanita tersebut manakala tetamu lelaki itu telah diugut dengan parang dilehernya.
Mangsa yang dibunuh sebelum itu telah dibawa masuk ke dalam bilik tidur oleh kedua-dua suspek sebelum mereka bertindak melarikan diri.
Kematian mangsa hanya disedari setelah tetamu lelaki berkenaan yang pergi ke bilik tidur berkenaan dan mendapati mangsa telah meninggal dunia dengan darah yang berlumuran di lehernya.
Pihak polis setakat ini hanya menjumpai sebilah parang di luar kediaman mangsa. Selain itu, Harith juga menyatakan, pihaknya kini sedang meneliti motif sebenar kepada pembunuhan tersebut kerana barang kemas milik mangsa tidak diambil oleh kedua-dua suspek berkenaan.
Menerusi hasil siasatan, suami mangsa berkata hubungannya dengan tetamu wanita tersebut berada dalam keadaan yang dingin.
Ini menyebabkan pihak polis telah menahan kedua-dua tetamu berkenaan bagi membantu siasatan pihak polis manakala dua suspek yang melarikan diri itu sedang diburu.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat.
Sumber: mStar