Isu Hudud: PAS Nafi, Selar Pihak Tuduh UMNO Tipu PAS


KUALA LUMPUR – PAS menyelar pihak tertentu yang sebelum ini menuduh kononnya parti itu telah ditipu oleh UMNO berkenaan isu hudud.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, semua pihak sewajarnya menilai dengan terperinci siapa yang sebenarnya menipu PAS dalam isu berkenaan.

"Ada orang tuduh PAS ditipu oleh UMNO kerana Hudud.

"Kita hendak tanya balik, kalau PAS tidak mahu memperjuangkan Hudud, siapa pula yang tipu PAS?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasrat PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan sebelum ini mendapat bantahan keras parti-parti pembangkang yang kini membentuk gabungan parti pembangkang baru, Pakatan Harapan.

Gabungan pembangkang terbaru itu bagaimanapun tidak termasuk PAS yang enggan lagi berkompromi dengan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang keras menolak usaha perlaksanaan hudud di Kelantan.

Sebelum itu, gara-gara hudud juga, DAP yang terkenal membantah perjuangan tradisi PAS tersebut bertindak menguburkan Pakatan Rakyat yang terbentuk sejak 2008.

Idris dalam kenyataannya turut mempersoal tuduhan yang dilemparkan terhadap PAS tersebut yang dilihat seolah-olah menuduh bekas pemimpin PAS turut ditipu oleh UMNO.

Kata beliau, bekas Presiden PAS, Allahyarham Yusuf Rawa dan Allahyarham Datuk Fadzil Noor serta bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak pernah ditipu kerana sentiasa tegas dalam hal berkenaan.

"Adakah mereka ini juga ditipu oleh UMNO?" soalnya lagi, membayangkan dakwaan yang dilemparkan itu hanyalah tohmahan semata-mata. -Kedahnews.com