Isu Israel: PAS Bidas Pendirian "Bisu" PKR Tentang Rakan DAP Mereka

Yang Dipertua PAS Kuala Kangsar, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss
KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus membisu dalam isu beberapa pemimpin DAP membantah langkah kerajaan Persekutuan melarang dua atlet Israel menyertai pertandingan luncur angin di Malaysia baru-baru ini.

Situasi itu menyebabkan PAS mula mempersoal tentang pendirian PKR tentang rejim Israel laknatullah memandangkan PKR masih rakan tahaluf parti itu walaupun PAS tidak menyertai Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan serpihan PAS, Parti Amanah Negara (Amanah).

Yang Dipertua PAS Kuala Kangsar, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, meskipun pemimpin DAP membuat keputusan menarik balik bantahan itu namun ia telah mengguris perasaan umat Islam negara ini.

“PAS Kuala Kangsar kesal terhadap rakan tahaluf PKR yang dilihat membisu diatas komentar yang telah dibuat oleh pemimpin DAP.

“Begitu juga gesaan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang cuba bermain ayat ‘kompromi profesional’ atas dasar sukan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Raja Ahmad berkata, PKR perlu menyatakan pendirian parti itu kerana isu Palestin adalah isu universal dan bukan isu terpencil memandangkan kekejaman regim zionis Israel menjadi agenda keamanan sejagat.

“Kami kesal kerana tiada sebarang kenyataan rasmi dari rakan tahaluf kami, PKR terhadap kenyataan DAP tersebut.

“Adakah PKR juga bersetuju dengan kenyataan sedemikian?” katanya. – Kedahnews.com