Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay |
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam disaran supaya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menggunakan laman sosial bagi membendung penularan fahaman kumpulan militan Negara Islam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata hanya jabatan agama mampu memberi penjelasan mengenai pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini seterusnya menyebarluaskan maklumat berkaitan kesesatan ideologi militan Daesh menerusi laman sosial.
Beliau berkata ini kerana langkah pencegahan dari akar umbi perlu dipergiatkan berikutan keseriusan kumpulan itu merekrut anggota baharu khususnya golongan muda menerusi laman sosial di seluruh dunia semakin ketara dan meningkat.
“Malah kini ada pula kaedah bai’ah (ikrar untuk menyertai IS) boleh dilakukan menerusi laman sosial ini tanpa perlu berjumpa dengan anggota kumpulan itu secara bersemuka.
“Cara ini dilihat dapat menjadikan fahaman itu lebih mudah menular dalam kalangan masyarakat seterusnya mempengaruhi golongan muda yang cetek ilmunya dalam bidang agama,” katanya dalam Bicara Dakwah Siri 5: Ekstrimisme dan Terrorisme, Cabaran Baharu Belia Islam, di sini, semalam.
Ayob Khan adalah panelis dalam program anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu.
Jelas beliau, hasil pemantauan pihaknya menunjukkan keaktifan militan IS menggunakan laman sosial terbukti apabila kira-kira 100,000 maklumat mengenai kegiatan mereka dimuat naik setiap hari termasuk menerusi Twitter, Facebook dan Instagram.
Katanya semua pihak perlu memandang serius berhubung isu tersebut kerana tanggungjawab membanteras penularan fahaman sesat yang disebar militan IS bukan terletak pada PDRM atau jabatan agama semata-mata.
“Institusi keluarga juga mesti memainkan peranan penting dan sentiasa memantau apa yang dibuat oleh anak-anak mereka bagi mengelak golongan muda, yang kebanyakannya masih mentah dan cetek ilmu terus terpengaruh dengan fahaman salah itu.
“Jiran, saudara mara, dan sahabat handai juga disaran mengambil tahu sekiranya melihat sebarang perlakuan yang menjurus kepada militan IS dengan melaporkan segera kepada pihak berkuasa,” katanya.
Menyifatkan ancaman fahaman militan IS, Syiah dan kumpulan militan lain tidak akan pudar, Ayob Khan menasihatkan umat Islam di negara ini supaya sentiasa berpegang dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak mudah terikut-ikut konsep kebebasan dan hak asasi yang diperjuang negara Barat.
“Jangan terpengaruh dengan sesetengah golongan yang mendakwa tidak perlu mengikut mazhab dan haram bermazhab kerana mereka ini kononnya mengaku sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi menolak ijmak dan qiyas, selidik dahulu dengan terperinci,” katanya. – BERNAMA