Jangan Dedah Anak Pada Risiko Penyakit, Imunisasi Penting


ANAK adalah merupakan anugerah dan amanah kurniaan Tuhan yang tidak ternilai harganya bagi setiap pasangan yang berkahwin.

Oleh itu, setiap ibu bapa harus memberikan yang terbaik dalam memastikan dunia adalah tempat selamat untuk pembesaran anak-anak apatah lagi di zaman penuh ‘pencemaran’ ini.

Antara ikhtiar yang boleh dilakukan, memberi suntikan imunisasi atau vaksin kepada anak sejak bayi.

Pemberian imunisasi sangat penting kepada bayi dan kanak-kanak kerana kelompok ini sangat mudah diserang atau dijangkiti penyakit berbahaya.

Ketua Sektor Penyakit Cegah Vaksin / Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Rohani Jahis berkata, imunisasi adalah pemberian satu bahan asing kepada kanak-kanak melalui suntikan untuk perlindungan daripada penyakit.

“Vaksin terdiri daripada bakteria atau virus yang telah dinyahaktifkan sama ada seluruh atau sebahagian bakteria tersebut.

“Apabila vaksin diberi kepada kanak-kanak, ianya akan membentuk antibodi atau pertahanan bagi melawan bakteria liar yang menyerang sistem badan.

“Dengan wujudnya antibodi tersebut, ianya dapat melindungi kanak-kanak tersebut daripada dijangkiti kompilasi penyakit tertentu, di samping mengelak dan mengurangkan komplikasi atau gejala penyakit,” katanya.

Sehubungan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan agar ibu bapa mendapatkan suntikan imunisasi untuk anak mereka yang diberi secara percuma di Klinik Kerajaan mahu pun di klinik-klinik swasta dengan kos bayaran yang ditetapkan oleh fasiliti berkenaan.

“KKM mewajibkan pengambilan enam jenis vaksin iaitu BCG, Hepatitis B, Diffteria-Pertusis-Tetanus (DTP) – Polio, jangkitan Haemophilus influenza type b, Measles-Mumps-Rubella (MMR), Human Papilloma Virus (HPV) dan Japanese Encephalitis (hanya di Sarawak) yang boleh melawan dan melindungi tubuh daripada 12 jenis penyakit.

“Jenis penyakit yang boleh dijangkiti adalah batuk berdarah, TB atau batuk kering, hepatitis B yang boleh menyebabkan kerosakan hati, tetanus atau kancing gigi, kekejangan otot, batuk kokol atau pertussis, demam selesema, difteria, demam campak, polio atau kelumpuhan pada saraf dan banyak lagi,” jelasnya.

Dr. Rohani turut menggalakkan ibu bapa mengambil beberapa vaksin tambahan di klinik swasta untuk melindungi anak-anak, antaranya vaksin Strep Pneumoniapneumococcal, Rotavirus dan Hepatitis B.

“Pemberian vaksin yang tidak mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh KKM boleh memberi kesan kepada anak di mana antibodi yang diberikan, tidak terbentuk pada paras yang dapat memberikan perlindungan optima bagi melawan kuman.

“Hal ini kerana antibodi sepatutnya meningkat mengikut masa. Sebagai contoh, apabila tidak diberi antibodi dalam sebulan, antibodi itu akan menurun dan apabila diberi dos berikutnya tidak mengikut jadual, kesan vaksin tidak mencapai tahap optimum. Ianya menyebabkan sistem imuniti tidak dapat memberi perlindungan sepenuhnya kepada tubuh,” ujarnya.

Menyentuh tentang dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan pemberian imunisasi kepada kanak-kanak boleh memberi kesan sampingan, Dr. Rohani berkata, ibu bapa perlulah mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan betul sebelum menjatuhkan hukum terhadap sesuatu.

“Ibu bapa perlu dapatkan maklumat betul daripada saluran yang sahih seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Bila timbul pandangan seperti itu, kita kena ketahui lebih lagi maklumat. Ini kerana risiko kesan sampingan pengambilan vaksin ini lebih kecil berbanding jika anak-anak tidak mengambilnya dan terdedah kepada jangkitan penyakit,” jelasnya.
Pada masa sama, Dr. Rohani turut meluahkan rasa terkilannya terhadap sikap segelintir ibu bapa masa kini yang bersikap ambil lewa terhadap kepentingan suntikan imunisasi buat anak mereka.

Situasi membimbangkan ini dapat dilihat apabila KKM mendapati jumlah penolakan imunisasi semakin meningkat berbanding tahun sebelum ini.

“Kami kecewa apabila ada ibu bapa yang tolak pemberian vaksin secara percuma yang telah disediakan kerajaan. Setakat ini, golongan yang menolak ini tidak dikenakan sebarang hukuman kerana pemberian imunisasi tidak terikat dengan peraturan atau akta undang-undang.

“Namun, pihak KKM akan memberi kaunseling kepada ibu bapa yang terlibat agar dapat membuka minda mereka untuk menerima tentang manfaat dan kebaikan imunisasi,” jelasnya.

Sehubungan itu Dr. Rohani menaruh harapan tinggi agar ibu bapa di negara ini menyedari akan kepentingan imunisasi kepada anak mereka, selain tekun dan sabar mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Sumber: mynewshub.cc