Jangan Lupa Bayar Zakat Harta Tahun 2015


KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP) menyeru umat Islam yang belum menunaikan zakat harta bagi tahun 2015 supaya berbuat demikian dengan segera.

PPZ-MAIWP dalam satu kenyataan berkata, zakat harta yang perlu ditunaikan mereka hanya 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan harta mereka sebelum 31 Disember 2015.

Ia termasuk zakat Pendapatan (termasuk alaun sepanjang tahun, bonus), zakat simpanan, zakat perniagaan, zakat emas, zakat KWSP dan zakat saham.

“Umum turut boleh membayar Qadha Zakat bagi pembayaran zakat untuk tahun-tahun sebelumnya.

“Pembayaran boleh dibuat dengan mudah melalui Portal PPZ-MAIWP. Hanya layari www.zakat.com.my dan pembayaran zakat anda boleh dibuat menggunakan kemudahan disediakan,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, pembayaran zakat melalui Portal PPZ-MAIWP membolehkan para pembayar zakat melihat sejarah pembayaran yang telah dibuat dan mencetak resit penyata tahunan.

Orang ramai boleh juga membayar zakat itu di 11 Kaunter PPZ-MAIWP sebelum 31 Disember ini yang boleh diketahui di laman web rasmi agensi tersebut. –Kedahnews.com