Tunku Sallehudin dan Tengku Maliha disambut orang ramai ketika tiba untuk sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri semalam. |
ALOR SETAR - Semua pihak dinasihatkan supaya tidak mudah terhasut dengan pemikiran jahat yang cuba memecahbelahkan ummah dan menghuru-harakan negara.
Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Sallehudin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, mutakhir ini banyak isu yang melibatkan ancaman terhadap umat Islam melalui fahaman liberalisme dan dualisme dalam beragama yang bercanggah dengan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
“Jika ia tidak dibendung segera, kesucian akidah umat Islam akan tergugat. Malah boleh mencabar kedudukan istimewa agama Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Akhirnya ia menatijahkan kepada keruntuhan tembok perpaduan masyarakat Islam di Malaysia yang terbina sekian lama,” titahnya ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) kampus Alor Setar, semalam.
Hadir sama Toh Puan Temenggong Kedah, Datuk Seri Tengku Maliha Tengku Arif; Exco Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail; Mufti Kedah, Datuk Syeikh Mohamad Baderudin Ahmad; Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah, Datuk Zahari Ismail serta Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Datuk Bakar Din.
Berdasarkan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu Perpaduan Nadi Transformasi Negara, Tunku Sallehudin turut menyeru kepada semua pihak supaya bersatu hati bawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat demi kemajuan, agama, bangsa dan negara.
“Manifestasi Mahabbaturrasul atau Cintakan Rasul bukan hanya sekadar di lisan bagi orang yang bijak mengungkap ayat-ayat cinta.
“Namun ia mestilah hadir melalui pembuktian perbuatan, pengorbanan dan mempertahankan sunnahnya, hatta mampu menepis segala dakyah dan fitnah terhadap karakter serta keperibadian Nabi Muhammad dari penghinaan dan momokan musuh Islam,” titahnya.
Sebagai seorang Muslim, baginda turut mengajak semua pihak untuk bermuhasabah, sejauh mana mereka berjaya menzahirkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad.
“Marilah bersama-sama kita menjaga amanah ALLAH SWT dengan rasa tanggungjawab, beramanah dan berintegriti bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap ekonomi dan sosial penduduk di Malaysia yang dicintai.
“Hiasilah segala tindakan kita berlandaskan prinsip yang berasaskan kepada semangat perpaduan ummah dan semangat toleransi antara sesama ahli masyarakat,” titahnya.
Sumber: Sinar Harian