Jenazah Tunku Abdul Jalil Selamat Disemadikan Di Makam Mahmoodiah


JOHOR BAHRU – Jenazah Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, selamat dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah di sini, kira-kira jam 2.40 petang Ahad selepas diarak menggunakan pedati dari Istana Besar Johor Bahru.

Hujan renyai-renyai yang mengiringi istiadat pemakaman itu diteruskan dengan bacaan talkin yang disempurnakan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar turut mengiringi istiadat perarakan Pedati Diraja yang diarak dari Istana Besar Johor Bahru ke Makam Mahmoodiah sejauh tiga kilometer.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim turut mengiringi jenazah Almarhum di atas pedati yang ditarik 10 askar Timbalan Setia Negeri (TSN).

Jenazah Almarhum ditempatkan di sebelah kanan makam nendanya, Almarhum Sultan Iskandar Ismail.

Sumber: Berita Harian