SEREMBAN – Walaupun arahan pengharaman penjualan vape di Johor namun pengusaha vape di negeri ini mengakui mereka juga turut terkesan.
Mereka berpendapat, jika benar ada kajian sahih menyatakan vape memudaratkan kesihatan maka arahan pengharaman rokok perlu dibuat terlebih dahulu di seluruh negara berikutan ia sememangnya diketahui memberi kesan kepada kesihatan.
Pengusaha vape, Md Sani Md Shah berkata, keputusan mengharamkan penjualan vape perlu dibuat oleh pihak tertentu yang lebih arif.
“Jika vape diharamkan untuk dijual atau digunakan atas alasan kesihatan, rokok perlu diharamkan terlebih dahulu. Jika diharamkan atas alasan agama, arak perlu lebih dahulu diharamkan.
“Jika boleh jual rokok dan arak di negara ini, kenapa pula tak boleh jual vape? Ia samalah seperti kita menangkap orang berkhalwat, tapi biarkan rumah pelacuran,” katanya.
Menurutnya, pihaknya difahamkan isu vape masih lagi dalam perbincangan pelbagai pihak berkaitan dan belum ada keputusan muktamad mengenainya.
Md Sani berkata, isu vape yang dipersoalkan sebelum ini baharu sahaja reda namun mula diperkatakan semula menyebabkan segelintir pengusaha panik dan terus mengambil keputusan menutup perniagaan mereka.
“Memang sekarang ini vape hanya diharamkan di Johor, tapi ia secara tak langsung beri kesan pada kami. Risau juga sebab, kalau banyak pihak campur tangan tak nampak jalan penyelesaiannya nanti.
“Saya nampak isu vape ini sudah ada persetujuan antara pihak kerajaan dan pengusaha untuk selesaikannya, cuma hanya menunggu pelaksanaannya sahaja,” katanya.
Sementara itu, Datuk Azwan Abdul Manaf yang juga pengusaha vape di daerah ini berpendapat, adalah tidak adil jika hanya vape diharamkan penjualannya tetapi rokok dikecualikan.
Sumber: Sinar Harian