“Jika PAS Sokong IS, Tak Mungkin Mahu Kerjasama Dengan UMNO”

Gambar Hiasan
Susulan dari tuduhan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang mengaitkan PAS dengan kumpulan pengganas Islam (IS), Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Mohd Zuhdi Marzuki tampil dengan menyelar sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.

Beliau berkata, tuduhan itu dikeluarkan kerana Mohamad Sabu sebenarnya dikatakan masih keliru ekoran kenyataan yang dikeluarkan itu sangat tidak berasas sama sekali.

Katanya, sebelum ini Amanah juga telah menuduh PAS akan menjalinkan kerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan persekutuan.

“Jika PAS dituduh sudah diserap oleh pemikiran IS, mengapa pula PAS ingin bekerjasama dengan pemerintah kerana ideologi ini sememangnya tersasar jauh dan berbeza daripada IS,” katanya.

Justeru, Mohd Zuhdi meminta agar jawatankuasa Amanah mencari jalan menyelesaikan dahulu isu kekeliruan mereka sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengarut terhadap PAS.

Mohamad Sabu sebelum ini mendakwa, PAS sudah diresapi pemikiran IS.

Beliau turut menuntut agar pasukan keselamatan negara menjalankan siasatan terperinci terhadap PAS berhubung perkara berkenaan.

Tuduhan itu bagaimanapun dilihat mempunyai unsur sabotaj memandangkan PAS pada masa kini jelas bersikap lebih terbuka dan mesra dengan parti kerajaan UMNO berbanding Amanah yang dianggotai bekas-bekas ahlinya yang berpaling tadah. -Kedahnews.com