JKJR Lupuskan 350 Topi Keledar Di Tapak Pelupusan Sampah MBAS

Nik Ahmad Syazwan menunjukkan antara topi keledar yang dilupuskan di Tapak Pelupusan Sampah MBAS di Jabi kelmarin
POKOK SENA - Sebanyak 350 topi keledar dilupuskan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia pada Program Pelupusan Topi Keledar di Tapak Pelupusan Sampah Majlis Bandaraya Alor Setar di sini, kelmarin.

Pengarah JKJR, Nik Ahmad Shazwan Nik Azman berkata, topi keledar yang dilupuskan itu ialah hasil dari pertukaran dengan topi keledar diperuntukkan JKJR sebanyak 900 unit dewasa dan 300 untuk kanak-kanak ketika kempen yang diadakan sepanjang tahun ini.

Menurutnya, proses pelupusan itu merupakan tindakan signifikan bagi memberi pendedahan kepada pengguna mengenai risiko yang boleh mengancam keselamatan mereka jika tidak mengguna topi keledar mengikut piawaian Sirim Malaysia Berhad (Sirim).

“JKJR mendapati masih ramai lagi penunggang dan pembonceng motosikal yang memakai topi keledar separuh atau kura-kura yang tidak selamat dipakai dan membahayakan mereka.

“Mengikut kajian JKJR Kedah mendapati kebanyakan kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal yang memakai topi keledar tidak mengikut piawaian Sirim,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program berkenaan.

Program ini bertujuan untuk menyaran orang ramai supaya tidak membeli topi keledar yang tidak selamat digunakan seperti termaktub di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Nik Ahmad Shazwan berkata, di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 memperuntukkan kuasa perundangan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mengeluarkan satu perintah bagi melarang pembekalan topi keledar yang tiada logo Sirim.

Jelasnya, tujuan larangan itu diwujudkan bagi mengukuhkan perlindungan pengguna terutamanya dalam membeli barang yang selamat dan mengurangkan risiko kemalangan.

“Bagaimanapun sehingga kini masih ada penunggang motosikal sanggup menggadai nyawa dengan hanya menggunakan topi keledar yang tidak mempunyai logo Sirim dan ini menunjukkan  kesedaran mereka masih lagi berada ditahap yang rendah,” katanya.

Bagi memberi kesedaran kepada orang ramai, JKJR akan terus mendekati orang ramai dengan mengadakan ceramah, menyebarkan maklumat melalui media massa dan mengadakan pemantauan penguatkuasaan bersama KPDNKK ke kedai motosikal.

Sumber: Sinar Harian