Jual Ayam Tak Sembelih: Pasaraya Diarah Henti Jual Ayam Sementara

Ayam yang dijual di pasar raya terbabit.
KULIM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah mengarahkan sebuah pasar raya di Padang Serai menghentikan sementara jualan ayam yang didapati tidak disembelih dengan sempurna.

Pengarahnya, Mohamad Fitri Hassan berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan di pasar raya berkenaan mendapati aduan pembeli adalah benar berlaku.

"Buat masa ini, pihak pasar raya ini mahu menunggu penjelasan daripada syarikat pembekal ayam.

“Pihak KPDNKK akan terus memantau bekalan yang akan dihantar dan pemeriksaan akan dijalankan dari masa ke masa bersama jabatan agama," katanya ketika membuat pemeriksaan ke atas pasar raya berkenaan semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Fitri menegaskan peniaga premis yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 berkaitan status halal.

"Pemantauan akan terus dijalankan bersama agensi lain bagi memastikan perkara ini dapat dibanteras," katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan pelanggan sebuah pasar raya terkejut melihat keadaan ayam yang dijual di premis itu dipercayai tidak disembelih memandangkan lehernya tiada tanda sembelihan.

Bertindak atas maklumat tersebut, Sinar Harian melakukan tinjauan dan mendapati ianya benar seperti didakwa pelanggan dan leher ayam itu juga tidak disembelih dengan sempurna.

Sumber: Sinar Harian