Pegawai AADK, Khairul Anwar Zakaria memantau beberapa penagih yang ditahan dalam Operasi Cantas oleh AADK baru-baru ini |
KUALA NERANG - Kakitangan awam dan pelajar sekolah antara yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam satu Ops Cantas yang dijalankan di sekitar Pekan Kuala Nerang, baru-baru ini.
Ketua Operasi AADK Padang Terap, Nazri Kassim berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat orang ramai dibantu oleh AADK Ibu Pejabat Kuala Lumpur, Kota Setar dan Padang Terap membabitkan 17 anggota.
Menurutnya, operasi itu bermula pada jam 10.30 malam hingga 2 pagi dan pihaknya membuat serbuan di kedai, bengkel serta beberapa premis kediaman.
"Hasil serbuan itu, kami menyoal siasat 16 orang dan berjaya menahan tujuh orang yang positif dadah jenis heroin dan seorang lagi ditahan kerana ganja," katanya.
Nazri berkata, dalam operasi itu, pihaknya membuat serbuan di tiga kedai makan, dua kediaman dan sebuah bengkel.
"Sebelum itu kami terpaksa melakukan pengintipan dan mengepung kawasan yang disyaki sebelum melakukan serbuan.
"Kebanyakan mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 36 tahun dan disahkan positif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing," katanya.
Katanya, dalam operasi itu, pihaknya juga turut merampas lima kilogram daun ketum yang belum diproses dari sebuah kedai makan.
"Bagaimanapun pemilik kedai makan terbabit tidak ditahan dan hanya diberi khidmat nasihat kerana pihak kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mendakwanya di bawah Akta Racun," katanya.
Difahamkan, lokasi serbuan itu sering dikunjungi orang ramai dan aktiviti itu telah menimbulkan curiga penduduk kampung sehingga mereka membuat laporan kepada pihak AADK untuk diambil tindakan.
Penagih yang ditahan akan didakwa di bawah Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 sebelum dibenarkan ikat jamin.
AADK Padang Terap mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang penyalahgunaan dadah boleh menghubungi di talian 04-7903150.
Sumber: Sinar Harian