Kampung Tanpa Wayar Di Kuala Ketil, WIFI Ibarat Tak Ada - Penduduk

Kemudahan Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia hanya indah pada nama?
KUALA KETIL- Rata-rata penduduk Kampung Tembak 'A' menggesa pihak telco dapat meningkatkan perkhidmatan capaian internet kerana kampung berkenaan masih ketinggalan jika dibandingkan dengan  tempat lain.

Wakil penduduk, Fazli Mohd Desa, 37, berkata, ramai yang kecewa dengan keupayaan dan kelajuan internet di kampung berkenaan.

"La ni semua dah ada smartphone (telefon pintar), internet dah jadi satu keperluan kepada kami...kalau takdak internet jadi payah nak berkomunikasi dan nak tau perkembangan semasa.

"Dengan adanya internet yang baik, kerja jadi pantas. Nak buat perbankan internet dan juga bayar bil, tak perlu nak bersesak di pejabat pos," katanya.

Menurut Fazli, di kampung berkenaan ada disediakan perkhidmatan Wifi milik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), namun kemudahan berkenaan hanya indah khabar daripada rupa.

"Semua boleh nampak ada papan tanda Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia, tapi khidmat Wifi itu ibarat macam tak ada.

"Kalau kita boleh connect pun sekejap akan terputus..lepas tu kalau bernasib baik dapat connect hanya boleh guna untuk baca WhatsApp saja, nak upload gambar atau tengok gambar memang masalah..saya rasa kelajuan internet amat teruk,"katanya.

Sementara itu, seorang lagi warga kampung yang kini menetap di bandar, Zamri Zainol Abidin, 40, berkata, setiap kali pulang ke kampung beliau akan menghadapi masalah untuk berhubung melalui media sosial.

"Bila balik kampung rasa macam tinggal di kawasan yang terlalu pedalaman kerana masih tiada capaian internet yang baik.

"Kadang-kadang kita perlukan internet untuk berkomunikasi melalui e-mel dan sebagainya atas urusan kerja.Kalau nak buka laman web memang susah. Secara keseluruhan internet kat kampung ni amat menyedihkan,"katanya.

Kata Zamri, dengan capaian internet yang baik ia akan memudahkan penduduk terutamanya ibu bapa untuk membuat semakan kemasukan anak-anak ke universiti dan banyak lagi manfaat lain dengan internet.

Sumber: Sinar Harian