Gambar Hiasan |
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay mendedahkan terdapat beberapa orang kanak-kanak warganegara Malaysia turut terlibat di pusat latihan berkenaan.
Menurutnya, melalui video yang diperoleh pusat latihan kanak-kanak Asia Tenggara di Syria menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa pengantar dan satu lagi di Khazastan menunjukkan kanak-kanak terlibat berlatih menggunakan senjata.
“Kira-kira 500 kanak-kanak terlibat di dua buah pusat berkenaan dan ia dilihat satu ancaman di luar jangkauan pemikiran di mana anak-anak kecil dilatih kononnya untuk menjadi mujahidin sejak di awal usia.
“Perkembangan tersebut dipantau teliti oleh PDRM di mana kita percaya anak-anak tersebut merupakan anak rakyat negara ini yang telah pergi ke Syria untuk menyertai IS,” katanya ketika ditemui pada Seminar Negara Islam: Jihad VS Militan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak, di sini.
Gambar Hiasan |
“Mereka ada cara menyebar ideologi...buat kajian terperinci dari segi psikologi jadi tidak hairanlah mereka amat berpengaruh kini malah sudah menguasai 23 bahasa bagi memastikan agenda dan sasaran mereka tercapai.
“Sebaran melalui media sosial amat pantas, memang mustahil untuk kita mengekang penyebarannya dengan cara yang berkesan, tetapi PDRM sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau sebarang pergerakan atau penularan berkaitan IS,” katanya.
Sumber: Sinar Harian