Kata-Kata Kesat Dibalas Tikaman Pisau Potong Sayur Di Perut

Gambar Hiasan
HUTAN MELINTANG – Kerana mulut badan binasa. Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki apabila ditikam rakannya kerana mengeluarkan kata-kata kesat, di sini semalam.

Kejadian pada kira-kira jam 2.30 pagi itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian perut selepas ditikam dengan pisau pemotong sayur.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mangsa pada awalnya membantu jiran untuk persiapan majlis perkahwinan.

“Selepas kerja persiapan perkahwinan siap, mangsa dan rakannya duduk berborak di hadapan rumah sambil minum minuman keras.

“Bagaimanapun, mangsa mengeluarkan perkataan tidak baik kepada rakannya yang kemudiannya membawa kepada pergaduhan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd Shuhaily berkata, suspek kemudiannya berang dan mengambil pisau pemotong sayur sebelum menikam mangsa di bahagian perut sebelah kiri.

Menurutnya, pergaduhan itu kemudiannya berjaya dileraikan oleh jiran dan rakan-rakan lain yang berada di tempat kejadian.

Katanya, mangsa yang cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Hutan Melintang sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan, doktor memberitahu mangsa mengalami luka di bahagian perut sebelah kiri dan stabil. Namun mangsa perlu menjalani pembedahan di bahagian luka tersebut.

“Suspek ditahan selepas bapa mangsa membuat laporan polis semalam. Mangsa yangberusia 25 tahun dan suspek, 24 tahun adalah rakan sekampung,” katanya.

Sumber: Sinar Harian