Kedah Mungkin Tak Glamour, Tapi Sejarah Hebatnya Siapa Tak Kenal...


SABTU, 12 Disember ini adalah hari penggulungan di PWTC - hari terakhir persidangan UMNO. Tetapi, ada satu lagi acara besar yang menjadi tumpuan di tanahair – Final Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam!.

Ia adalah dua peristiwa atau acara yang berbeza. Perjuangannya juga amat berbeza. Di pentas Shah Alam, tidak ada retorik. Yang ada hanya pentas sebenar untuk 22 pemain di atas padang untuk memperagakan kekuatan, kehebatan dan keupayaan tersendiri. Tidak ada pemain yang boleh mencanangkan dia hebat tetapi sebenarnya tempang di padang.

Saksinya ialah 80,000 penonton dan jutaan yang lain yang menonton siaran langsung di TV1. Piala Malaysia adalah kejohanan paling ulung yang masih kekal selepas Presiden Cup di Korea Selatan.

Piala Malaysia adalah lambang `anak jantan’ pasukan bola sepak di Malaysia.

Sejak Piala Malaya dipertandingkan pada awal tahun 1920-an dan ditukar kepada Piala HMS Malaya pada tahun 1933 selepas piala disumbangkan oleh pegawai memerintah kapal perang HMS Malaya, Kapten Ion Beauchamp Butler – sehinggalah Piala Malaysia yang pertama di diperkenalkan pada tahun 1967 – kejohanan ini telah mencorakkan pelbagai warna.

Pemain-pemain yang beraksi dan cemerlang dalam Piala Malaysia banyak mendapat nikmat daripadanya. Ada pemain yang pernah menjulang Piala Malaysia diangkat menjadi pemimpin atau wakil rakyat. Ada yang menerima gelaran Dato’ dan berjaya dalam perniagaan.

Pelbagai anugerah dan ganjaran lain diterima pemain termasuklah hadiah wang tunai dan sebidang tanah. Jika pemain di atas padang nama mereka harum di bibir peminat, tokoh di belakang tabir dalam pasukan juga turut mendapat perhatian. Ada yang berkhidmat kerana minat mendalam terhadap bola sepak manakala ada juga yang menjadikan kepimpinan dalam bola sepak sebagai batu loncatan dalam politik – bukan hanya parti pemerintah tetapi juga parti pembangkang.

Kejayaan pasukan Kedah ketika di bawah pemerintahan PAS dipergunakan oleh Kerajaan Negeri ketika itu untuk meraih kredit daripadanya – tindakan yang sama dilakukan oleh BN di Kedah sewaktu mereka memerintah. Ini adalah lumrah. Siapa sahaja yang memerintah ketika itu, ia akan mendapat kredit.

Peneraju dalam persatuan atau pasukan bola sepak paling gembira dan mendapat labanya apabila pasukan mereka cemerlang. Ramai pengundi di Kelantan memberikan sokongan kepada Tan Sri Annuar Musa kerana kejayaannya memimpin pasukan Cik Siti Wan Kembang walaupun mereka sebenarnya bukan penyokong parti pemerintah.

Ini pernah diceritakan oleh penyokong Kelantan pada saya suatu ketika dulu. Jadi, bola sepak mempunyai sedikit pengaruh terutama untuk pengundi di atas pagar.  Beberapa tokoh lain turut mendapat manfaat yang sama apabila pasukan dibimbing mereka cemerlang.Dan final 12 Disember ini juga pentas ujian untuk Mukhriz Mahathir (MM) dan Azmin Ali sebagai peneraju Kedah dan Selangor.

Tetapi, lebih banyak tumpuan diberikan kepada MM kerana Menteri Besar Kedah ini berada di `padang yang berbeza’  ketika ini.

MM sedar bola sepak sedikit sebanyak mempengaruhi KPI atau prestasinya. Sejarah Kedah sendiri memberikan cabaran besar kepada siapa sahaja yang menjadi Menteri Besar kerana perlembagaan menyatakan bahawa jawatan tertinggi dalam persatuan bola sepak negeri ini akan disandang secara automatik oleh mereka yang bergelar Menteri Besar.

Lima Menteri Besar sebelum MM mempunyai sejarah pencapaian tersendiri dalam bola sepak. Hanya Syed Razak Barakbah tidak berjaya membawa Kedah menjuarai kejohanan besar sepanjang enam tahun dia menjadi MB Kedah (1999 hingga 2005).

Tetapi, kejayaan ke Final Piala Malaysia 2004 dan tewas kepada Perlis serta Naib Johan Liga Super 2003 dan Johan Liga Premier meletakkan beliau sebagai MB yang tidak akan dilupakan dalam catatan kegemilangan bola sepak di Kedah.

Sanusi Junid yang hanya sempat menjadi MB di Kedah dalam tempoh 3 tahun enam bulan, masih boleh `sembang besar’ kerana Kedah muncul juara Piala FA 1996 di Stadium Merdeka ketika dia menjadi MB Kedah.

Osman Aroff paling hebat ketika lonjakan Hijau Kuning pada lewat tahun 80-an walaupun arkitek di belakangnya ialah Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil.

Tetapi, kepimpinan Osman Aroff masih dikenang sehingga hari ini. Selain pembinaan Stadium Darulaman yang lebih besar, dua gelaran juara Piala Malaysia (1990 dan 1993).

Juara Perlawanan Sumbangsih 1991 dan 1994 serta juara Divisyen Satu 1993 – menjadikan Osman Aroff  cukup popular di kalangan peminat bola di negeri Jelapang Padi.

Mahdzir Khalid pula menjadi Presiden KFA yang pertama membawa Kedah menjuarai tiga piala – Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Liga. Walaupun hanya menjadi MB tidak sampai satu penggal sejak tahun 2005 sebelum tewas pilihanraya umum 2008.

Mahdzir meletakkan asas yang kuat dengan penonjolan pemain-pemain muda yang digarap oleh Azrai Khor Abdullah.Pengganti Mahdzir selepas itu, Allahyarham Ustaz Azizan Razak juga tidak perlu membuat kerja yang banyak dan meneruskan legasi kepimpinan cemerlang ini dengan melebarkan kepada kejayaan `double-treble’.

Kini, seluruh tumpuan kepada Mukhriz Mahathir. Dia bukan pemain di atas padang, tetapi kejayaan pemain-pemain Hijau Kuning 12 Disember ini akan membantunya untuk terus berada dalam `skuad utama’.

Prestasinya di Negeri Kedah menjadi perhatian bukan sahaja dalam sektor pembangunan tetapi juga di atas padang bola. Jika Kedah gagal menjuarai Piala Malaysia musim 2015 ini, ia bukanlah malapetaka kerana kejayaan ke final sudah dianggap terbaik kerana mereka daripada pasukan liga lebih bawah iaitu Liga Premier.

Ketika pasukan gergasi dan glamour lain seperti JDT dan Pahang gagal ke pentas akhir Piala Malaysia, kejayaan Kedah ini sudah boleh dianggap sebagai kejayaan besar.

Selangor lebih berhak untuk diletakkan sebagai `favourite’ Sabtu ini kerana mereka di kelompok tiga tangga teratas Liga Super.

Mukhriz mempunyai banyak masa sebelum pilihanraya umum yang dijangka tiga tahun lagi, tetapi itupun jika dia tidak menerima kad merah untuk keluar padang lebih awal…….Jumpa di Stadium Shah Alam Sabtu ini.

Sumber: mStar