Keputusan Calon PT3 2015 Lebih Baik Berbanding Tahun Lalu

Aksi teruja sebahagian dari 46 pelajar cemerlang ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) Sekolah Menengah Imtiaz Besut yang gembira setelah memperolehi keputusan A semua mata pelajaran dalam PT3 di sekolah mereka hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR – Sebanyak 465,674 calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mendapat keputusan hari ini di seluruh negara.

Kebanyakan sekolah merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik berbanding keputusan tahun pertama pelaksanaannya pada 2014.

Di Besut, seramai 46 daripada 62 calon PT3 Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut berjaya memperoleh 11A dan sekali gus menobatkan sekolah itu antara sekolah terbaik di negeri Terengganu pada tahun ini.

Pengetuanya, Abd Wahab Mohd Arshad berkata amalan menghafaz al-Quran dalam kalangan pelajar sekolah itu telah berjaya membentuk akhlak pelajar hingga cemerlang dalam PT3.

“Inilah yang sedang dibentuk oleh Imtiaz kerana 20 calon PT3 berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran. Dengan menghafaz al-Quran boleh memberi kelebihan kepada pelajar tentang kesedaran kendiri hingga membawa kepada kejayaan,” katanya.

Pelajar terbaik Imtiaz Besut, Muhamad Syakir Solihin Mohd Salim berkata resepi kejayaannya memperoleh 11A, banyak dibantu oleh amalannya menghafaz al-Quran 30 juzuk di samping menjaga pemakanan dan bijak menguruskan jadual.

“Saya menetapkan jadual untuk sesi belajar di samping bantuan guru. Selain itu pemakanan memang saya jaga. Saya percaya makan kismis mampu menguatkan daya ingatan saya,” kata anak kepada pasangan guru itu kepada Bernama selepas majlis penyerahan sijil di sekolahnya hari ini.

Bagi Fahda Syazween Fazul Anuar dari Sungai Petani, Kedah yang turut mendapat 11A, mengakui amalan menghafaz al-Quran banyak membantunya memperkuat ingatan dalam pembelajaran sekolah.

“Setiap hari rutin hidup saya mesti dimulakan dengan memakan kismis dan minum susu sebelum membaca al-Quran. Selepas itu barulah saya teruskan dengan mentelaah mata pelajaran sekolah secara berkumpulan,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU, kejayaan sama turut diraih Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abbas selepas 33 calon PT3 memperoleh 11A.

Pengetuanya Awi Salleh berkata pencapaian terbaik itu merupakan peningkatan lebih 200 peratus berbanding keputusan PT3 pada tahun lepas iaitu hanya 12 pelajar mendapat 11A.

“Daripada 271 calon PT3 di sekolah ini, 33 calon mendapat 11A, 29 pelajar memperoleh 10A dan 79 pelajar mendapat 9A,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil kepada para pelajar di sekolah itu hari ini.


Bagi Mohd Ehsan Ahmad Rosli yang mendapat 11A, kejayaan yang dilakarnya itu adalah berkat sentiasa fokus kepada pembelajaran bagi semua mata pelajaran yang diajar di dalam kelas selain dorongan kedua ibu bapanya.

“Saya sangat gembira, bersyukur kepada Allah dan bagi saya yang paling penting untuk mendapatkan kejayaan ini, reda daripada kedua ibu bapa dan guru-guru. Moga kejayaan yang kami dapat ini adalah kejayaan yang diredai Allah,” katanya.

Sementara itu Muhd Akif Naqiuddin Zahar yang turut berkongsi kegembiraan mendapat 11A berkata beliau bersyukur kerana mendapat keputusan cemerlang kerana baginya PT3 adalah sukar dan amat mencabar.

“Saya rasa gembira kerana semua orang tahu ujian ini tidak mudah. Namun saya bangga dengan pencapaian yang saya peroleh dan berbangga juga dengan teman-teman lain. Ini boleh saya jadikan dorongan untuk mendapat keputusan terbaik dalam SPM pula,” katanya. – BERNAMA