Kerajaan Lebih Giat Tingkat Liputan Jalur Lebar Luar Bandar

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Kerajaan telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisatif di bawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) bagi meningkatkan liputan jalur lebar di luar bandar, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata ia dilaksanakan melalui pembinaan lebih banyak menara komunikasi, Wi-fi Komuniti (WK) dan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M).

“Sehingga kini, sebanyak 1.762 juta port (6 juta rakyat) sambungan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) telah siap dipasang dan diuji melibatkan 103 buah ibu sawat.

“Pencapaian ini merupakan 125 peratus daripada sasaran yang telah ditetapkan iaitu 1.3 juta port,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Dr Johari Mat sewaktu sesi soal jawab hari ini.

Datuk Jailani Johari
Jailani berkata kementerian juga sedang dalam pelaksanaan HSBB 2 dengan sasaran sebanyak 390,000 premis bagi tempoh pelaksanaan 10 tahun (2015-2025) selain projek jalur lebar pinggir bandar (SUBB) dengan sebanyak 420,000 premis disasarkan bagi tempoh yang sama.

Jailani berkata jumlah kos keseluruhan pelaksanaan Projek HSBB 1 adalah RM11.3 bilion dan telah dilaksanakan secara kerjasama awam dan swasta (PPP) antara kementerian dan Telekom Malaysia Berhad (TM) bermula 2008 untuk tempoh 18 tahun.

Katanya, sehingga Okt 2015, kos pelaburan keseluruhan sejak projek HSBB 1 ini mula dilaksanakan adalah sebanyak RM8.6 bilion.

Beliau berkata sebanyak 3666 Wi-fi Komuniti telah siap dilaksanakan dan kini sedang dalam proses kajian sama ada ia perlu diteruskan atau tidak, sementara sebanyak 612 Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) telah siap dibina dan sebanyak 137 PI1M pula masih dalam pelakasanaan.

Bagi pembinaan menara komunikasi pula, Jailani berkata sebanyak 1,000 menara telah siap dilaksanakan di seluruh negara bagi perluasan liputan selular (Time 3) yang melibatkan kos keseluruhan RM1.5 bilion dan berjaya meningkatkan kadar liputan populasi negara ke paras 95 peratus. – BERNAMA