MELAKA - Walaupun beberapa negeri memutuskan untuk mengharamkan perjualan Vape atau rokok elektronik dan cecairnya, namun berlainan pula dengan pendirian Kerajaan Negeri Melaka.
Penjualan peralatan vape dan cecairnya di Melaka tidak menyalahi undang-undang negeri itu dan lesen operasinya akan dikeluarkan kepada usahawan menceburi industri berkenaan.
Kerajaan sedia mengeluarkan lesen kepada peniaga vape sehingga Kerajaan Persekutuan memutuskan undang-undang baru untuk mengawal vape atau mengharamkan produk tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Ismail Othman berkata keputusan untuk tidak mengharamkan vape dan e-rokok dibuat selepas satu kajian menunjukkan jualan produk itu tidak meluas di negeri berkenaan.
Datuk Ismail Othman |
"Terdapat jumlah kecil usahawan muda menceburi bidang perniagaan itu dan kita tidak mahu melemahkan semangat mereka dengan mengenakan larangan.
"Kami akan terus memberi mereka peluang untuk menjana pendapatan tetapi mereka perlu mematuhi sebarang undang-undang baru, termasuk larangan, jika diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini yang dipetik dari mStar.
Ismail berkata, ramai usahawan muda telah membuar pelaburan besar terhadap produk tersebut sehingga membuka kedai yang serba canggih.
"Oleh itu, kita tidak keberatan menghulurkan tangan bagi membantu sehingga undang-undang mengenai produk itu berubah," katanya lagi.
Ketika ini penjualan cecair yang mengandungi nikotin hanya boleh dibekalkan oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar selain perlu direkodkan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang membuat pengumuman itu, berkata jualan nikotin dilarang mengikut Akta Racun 1952.
Ismail turut mengesahkan bahawa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mengeluarkan sebanyak 20 lesen beberapa hari lalu, sambil menambah bahawa mereka yang berminat untuk memohon lesen masih boleh berbuat demikian.
"Tetapi lesen adalah untuk operasi kedai-kedai dan pihaknya tidak akan bertanggungjawab bagi kandungan nikotin dalam cecair vape," katanya. -Kedahnews.com