Kerjasama UMNO - PAS Bakal Beri Impak Positif Untuk Islam - Dr. MAZA


KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengulangi pendirian beliau kerjasama PAS dan UMNO akan memberi impak positif ke atas agama Islam di Malaysia.

Mohd. Asri bagaimanapun berkata, beliau menghormati kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu perlu komited pada kerjasama sedia ada dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) buat masa sekarang.

“Walaupun saya berpendapat mungkin ada positifnya juga jika PAS cuba berdakwah kepada UMNO secara kerjasama namun pendiriannya wajar dihormati.

‘Semoga Allah S.W.T menempatkan keikhlasan dalam jiwa hamba-hambaNya yang mencari redhaNya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Presiden UMNO, Datuk Seri Naiib Tun Razak sewaktu berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 menjelaskan parti itu bersedia bekerjasama dengan PAS demi agama Islam dan kaum Melayu.

Tawaran kerjasama itu disambut baik Presiden PAS dengan menegaskan kepentingan Islam menjadi agenda utama parti berkenaan sejak ditubuhkan.

Namun, kata Abdul Hadi, PAS masih perlu meneruskan kerjasama dengan PKR berdasarkan keputusan yang dibuat majlis syura parti itu sebelum ini.

Ramai pihak bagaimanapun berpandangan PAS terpaksa memberi reaksi seperti itu demi menjaga kedudukan kerajaan Selangor yang kini turut ditadbir wakil PAS. – Kedahnews.com