KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencabar Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk berdebat dengan ketuanya mengenai integriti pemimpin UMNO.
Setiausaha Pengelolanya, Syukri Razab mendakwa, cabaran berdebat dengan Nik Nazmi Nik Ahmad itu bagi meraikan semangat demokrasi dan politik matang.
“AMK ingin mencabar Pemuda UMNO ke meja debat. AMK bersedia untuk menyediakan platform bagi membolehkan debat ini berlangsung secara terbuka.
“Masa dan waktu boleh diperbincangkan kemudian setelah Khairy Jamaluddin menyahut cabaran ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syukri bagaimanapun mencadangkan beberapa topik untuk didebatkan iaitu “Benarkah Malaysia sedang menuju ‘negara gagal’?”, “Apakah Politik Melayu terancam?” dan “Apakah pemotongan bajet pendidikan tinggi merupakan helah untuk Kerajaan lepas tanggungjawab?”.
Menurutnya, Pemuda UMNO boleh memilih salah satu daripada tiga topik tersebut namun AMK terbuka untuk menerima sebarang cadangan topik lain daripada Pemuda UMNO.
Katanya, AMK berharap perdebatan antara Ketua AMK Malaysia dan Ketua Pemuda UMNO itu akan menjadi medan generasi muda mendapatkan penjelasan primer mengenai isu-isu terkini.
Tambah beliau, tanggapan debat tidak membawa ke mana perlu ditolak kerana negara-negara maju menjadikan debat sebagai salah satu daripada ‘good governance’.
“Debat ini juga menjadi peluang untuk Ketua Pemuda UMNO membuktikan bahawa UMNO sudah keluar daripada politik konservatif perkauman,” katanya. -Kedahnews.com