Khairy dan Chong Wei ketika menghadiri majlis Yonex The Legend's Vision, semalam. |
KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan badminton kini menjadi sukan nombor satu negara berdasarkan prestasinya di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata walaupun bola sepak kekal sebagai sukan popular, namun jika dibandingkan dari segi prestasi, badminton telah membuktikan perkembangan positif sama ada di peringkat senior atau remaja.
"Bola sepak memang popular di mana-mana sahaja. Ini hakikat yang harus kita terima. Tapi kalau dilihat dari segi prestasi dan pencapaian, badminton sudah menunjukkan perkembangan positif. Kita juga dapat lihat ramai pemain badminton yang boleh menggantikan (Datuk) Lee Chong Wei.
"Mungkin bukan dalam perseorangan lelaki, mungkin Goh Jin Wei boleh muncul juara dunia perseorangan wanita. Dan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada Chong Wei sahaja," katanya kepada pemberita pada program Yonex The Legend's Vision di sini, Selasa.
Dalam pada itu, Khairy berharap Chong Wei dapat meneruskan khidmat kepada pembangunan sukan badminton negara walaupun selepas beraksi di temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos tahun depan.
Ditanya sama ada Chong Wei akan diminta mewakili negara pada Sukan SEA 2017, beliau berkata keputusan itu terpulang sendiri kepada pemain yang berada pada ranking keempat dunia itu.
"Dia bagitau saya dia tidak pernah menang acara perseorangan lelaki Sukan SEA. Dalam konteks kerjaya dia, mungkin pingatnya kecil, tetapi dia hendak main juga pada 2017, mungkin itu antara yang akhir dalam kerjaya dia.
"Secara tradisinya, kita hantar pasukan kedua, tapi atas nilai sentimental, Chong Wei hendak main, mungkin kita bagi dia mainlah," katanya.
Sementara itu beliau berkata prinsip disiplin yang tinggi seperti yang diamalkan oleh Chong Wei harus dicontohi oleh para pemain khususnya pemain remaja untuk mencapai tahap tertinggi dalam sukan badminton.
Selain daripada disiplin yang tinggi ketika sesi latihan, Chong Wei mempunyai semangat yang tinggi serta mengamalkan cara kehidupan atlet profesional yang turut menekankan dari segi pengurusan masa dan sains sukan, katanya. - Bernama