Kisah Anak Pendatang Asing Keturunan Yahudi Bernama "Ralph Lauren"

Ralph Lauren
DILAHIRKAN di bandar raya New York pada 14 Oktober 1939, Ralph Lauren atau nama sebenarnya Ralph Lifshitz ialah anak lelaki bongsu kepada pendatang asing keturunan Yahudi Ashkenazi dari Belarus yang tinggal di Bronx.

Dia membesar dan tinggal di kota Big Apple Amerika Syarikat (AS) itu sehingga tahun 1950-an. Lucunya, mogul fesyen ternama antarabangsa ini tidak pernah pun belajar tentang bidang fesyen.

Dia hanya bermula selepas menamatkan ijazah perniagaan dan belajar berniaga secara berkuli pada waktu petang.

Semasa bekerja pagi dan petang, dia mula mereka bentuk tali leher lebar, sedangkan pada waktu itu orang hanya memakai tali leher yang halus dan tidak bercorak.

Kemudian dengan beraninya dia telah membuat pinjaman sebanyak AS$50,000 untuk membina syarikat fesyen Polo Fashions pada 1968.


Ketika berusia 12 tahun, dia sanggup bekerja selepas waktu persekolahan untuk mengumpul duit dan membeli pakaian mahal. Dia juga menjual tali leher buatan tangan kepada rakan-rakan sekolahnya.

Apabila umur 16 tahun, Ralph Lauren dikatakan telah menukarkan nama keluarganya sendiri, Lifshitz kepada Lauren kerana sering diejek dan dibuli pelajar lain di sekolah.

Di dalam buku tahunan Sekolah Tinggi DeWitt Clinton 1957, dia telah menulis salah satu matlamat hidupnya ialah hendak menjadi seorang jutawan terkenal.

Tanpa dia sedar, minat berpakaian mahal dan kemas, pengalaman jual tali leher buatan sendiri, matlamat hidup sebagai jutawan dan impian kehidupan ala filem telah dorong kejayaannya di dalam bidang keusahawanan.


Pada 1972, dua tahun selepas pelancaran barisan fesyen Ralph Lauren dan setahun selepas koleksi pertama untuk wanita, Lauren telah memperkenalkan baju berkolar berlengan pendek untuk bersukan.

Beliau menggunakan simbol pemain polo bersulam sebagai logo jenama kerana Ralph Lauren menyukai sukan walaupun hakikatnya dia jarang sekali bermain polo di padang.


Sejak itu Ralph Lauren meneruskan langkahnya di dalam bidang fesyen sehingga menjadi kaya-raya. Lauren akan memastikan rekaannya tidak akan dapat dibeli di mana-mana kerana ia diposisikan sebagai fesyen eksklusif. -Agensi