IPOH – Seorang anggota polis mati dipercayai akibat dibelasah di sebuah premis sarang burung walit di Sitiawan, Manjung semalam, kira-kira 80 kilometer dari sini.
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata Koperal Noor Hisham Abdul Halim, 35, bertugas di Balai Polis Sitiawan ditemukan dalam keadaan tertiarap dan tidak sedar diri dengan kesan kecederaan di kepala, tangan, badan dan kaki pada kira-kira 4 petang.
“Mangsa ditemui orang awam yang kemudiannya menghubungi pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pemakaian pangkat kepada 42 pegawai polis berpangkat Inspektor kepada ACP serta meraikan pesara polis di Pusat Latihan Polis Gerakan Udara di sini, semalam.
Beliau berkata, Noor Hisham disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat dipukul dengan objek keras di beberapa anggota badan.
Katanya, hasil siasatan polis mendapati mangsa difahamkan memecah masuk ke premis tersebut untuk mencuri sarang burung walit namun disedari beberapa pekerja di situ sebelum membelasah mangsa dengan kayu.
Hasnan berkata polis turut menemukan beberapa batang kayu dipercayai digunakan untuk membelasah mangsa berhampiran premis itu.
Beliau berkata siasatan polis mendapati mangsa ditahan kerja sejak 18 Sept lalu berkaitan kes dadah, pecah rumah dan mendatangkan kecederaan.
Katanya polis menahan dan mereman selama seminggu empat suspek berusia antara 35 hingga 59 tahun dipercayai pekerja premis sarang burung walit itu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
“Orang ramai dinasihat agar tidak memukul sehingga mendatangkan kematian, sebaiknya segera menghubungi polis untuk menangkap penjenayah,” katanya sambil menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota atau pegawainya yang terlibat melakukan jenayah.
Sementara itu, adik mangsa, Noor Hazarrudin, 29, ketika ditemui di HRPZ hari ini berkata beliau mengetahui kejadian yang menimpa abangnya menerusi panggilan telefon daripada ayahnya yang merupakan anggota polis di Langkawi.
Katanya abangnya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik meninggalkan seorang isteri, Rashidah Ariffin, 31, dua anak perempuan berumur enam tahun dan empat bulan dan seorang anak lelaki berumur lima tahun.
Katanya, jenazah Noor Hisham dikebumi di Kampung Nyior Chabang, Padang Mat Sirat, Langkawi, semalam. -Bernama