Kreativiti Etnik Dassanech Buat Perhiasan Diri Guna Bahan Kitar Semula

DASSANECH di Eropah cipta rantai, topi guna barangan terpakai.
Amalan mengitar semula memang digalakkan untuk kita semua, namun suku kaum Dassanech di Ethiopia membawa kelainan kepada konsep itu apabila mengubah suai bahan yang pada kita cuma sampah menjadi barang kemas yang unik dan cantik.

Mereka menggunakan sepenuhnya kreativiti dimiliki untuk menghasilkan topi, anting-anting atau rantai menggunakan jam tangan lama, penutup botol, malah juga penutup jarum picagari.

Jurugambar Eric Lafforgue dari Toulouse, Perancis merakamkan gambar kumpulan etnik ini dalam tiga lawatan ke tempat mereka di selatan Ethiopia, di Lembah Omo berhampiran sempadan dengan Kenya.

“Saya paling suka ke kawasan pasar kerana di situ kita dapat melihat semua suku kaum di sini datang menjual dan membeli barangan mereka. Ini tempat terbaik untuk melihat orang dan barangan yang begitu cantik serta unik.

“Pakaian mereka semuanya menunjukkan identiti sendiri selain menggambarkan imaginasi masing-masing,” katanya.

AKSESORI tradisional Dassanech termasuk meletakkan piring dalam mulut.
Menurutnya, kawasan itu kini ramai pekerja binaan yang membina jambatan menyeberangi Sungai Omo, dan disebabkan itu banyak bar mula dibina. Bar berkenaan yang menjadi tempat mendapatkan penutup botol yang digunakan untuk membuat aksesori Dassenech.

“Memang penutup botol juga mampu menjadi simbol status untuk Dassenech. Lebih banyak penutup botol dimiliki meningkatkan lagi keyakinan diri mereka.

“Kumpulan itu memang terkenal dengan aksesori seperti rantai, tetapi topi juga dianggap penting sebagai fesyen mereka.

“Aksesori dicipta turut dihiasi dengan bulu burung atau haiwan lain seperti monyet dan cheetah. Ada juga yang dijual, tetapi lazimnya barangan hiasan ini akan disimpan untuk kegunaan sendiri.

“Setiap benda yang datang dari ‘dunia moden’ berpotensi dijadikan aksesori. Itulah cara mereka turut menyertai arus kemodenan. Kerana tidak mampu mengakses teknologi sebenar, mereka menjadikannya satu fesyen,@ kata Lafforgue.

Sumber: myMetro