Dari kiri; Salih Yaacob, Raja Azura dan Krill Rashid yang sebelum ini popular menerusi segmen Sinar Pagi di Sinar FM. |
PETALING JAYA - Bekas penyampai radio Sinar FM, Krill Rashid mengambil keputusan untuk bersara daripada bidang penyiaran radio selepas kontraknya bersama stesen tersebut ditamatkan baru-baru ini.
Krill atau nama sebenarnya Khairil Rashid berkata, dia merasakan sudah sampai masanya dia memberi tumpuan kepada perkara baharu selepas 17 tahun bergelar seorang deejay.
"Sebenarnya sejak awal tahun ini saya sudah mula rasa minat itu semakin berkurangan kerana ia telah menjadi rutin saya sepanjang 17 tahun sebagai deejay.
"Malah ada beberapa kali saya memberi bayangan kepada peminat di Facebook mengenai hasrat saya itu dan tindakan pihak pengurusan Sinar FM tidak menyambung kontrak mungkin adalah yang terbaik.
"Saya ingin bersara sebagai penyampai radio dan jujurnya minat itu mula pudar selepas 17 tahun berada dalam bidang penyiaran radio," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat.
Terdahulu, Krill bersama dua lagi rakannya yang menggendalikan segmen Sinar Pagi iaitu Salih Yaacob dan Raja Azura tidak disambung kontrak bersama stesen berkenaan.
Ketiga-tiga mereka kali terakhir ke udara pada 27 November lalu.
Dalam pada itu, Krill menyangkal dakwaan kontraknya tidak disambung berikutan dia mempunyai masalah disiplin selain sering tiba lewat ke konti radio.
Kata Krill, sekiranya benar dakwaan tersebut kontraknya bersama Sinar FM mungkin sudah tidak diperbaharui sejak dahulu lagi.
"Saya tidak kata diri saya sempurna tetapi jika benar saya ada masalah disiplin mungkin sudah lama dulu karier saya sudah terkubur," katanya.
Sementara itu, Krill berkata, dia melihat keputusan pihak pengurusan tidak menyambung perkhidmatannya bukan satu isu harus diperbesarkan kerana kedudukannya sebagai pekerja secara kontrak.
Jelasnya, sejak awal dia memang sentiasa bersedia tentang perkara itu menandangkan kontrak mereka diperbaharui setiap 12 bulan.
"Setiap kali kontrak hampir tamat saya tahu akan risiko kontrak tidak disambung atau pun sebaliknya dan telah pun bersedia menghadapi sebarang risiko.
"Barangkali rezeki saya bersama mereka hanya setakat ini dan tiba masanya saya mencari peluang lain," ujarnya.
Ditanya adakah dia akan terbuka hati untuk kembali sebagai penyampai radio di stesen radio lain, Krill berkata buat masa ini dia tidak memikirkan perkara itu.
"Ada tawaran dari sebuah stesen tetapi seperti saya katakan saya mahu bersara kerana tidak mahu menjadi deejay sampai tua.
"Bagaimanapun pada masa hadapan saya tidak tahu, mungkin saya akan terima namun buat masa sekarang saya terpaksa tolak," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Krill baharu sahaja membuka sebuah syarikat pengiklanan radio iaitu Krill Rashid Global Sdn Bhd bersama rakannya Rostam Zulkarnain Said (Pak Tam).
Jelas Krill, syarikat yang ditubuhkan beberapa bulan lalu itu memfokuskan kepada syarikat bumiputera yang ingin mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka menerusi iklan di radio.
"Walaupun sudah tidak bergelar deejay namun saya masih terlibat dalam bidang pengiklanan radio yang saya usahakan sejak beberapa bulan lalu.
"Penubuhan syarikat ini sejak beberapa bulan lalu juga adalah sebagai persediaan saya pada masa hadapan dan Alhamdulillah biarpun masa baharu ia berada dilandasan yang baik," katanya.
Selain itu kata Krill, dia juga giat mempromosikan jenama pakaian miliknya iaitu Kurta by Krill Rashid yang semakin berkembang menerusi penjualan vendor, atas talian dan stokis di seluruh Malaysia.
Sumber: mStar