Kutipan "Star Wars: The Force Awakens" Pecah Rekod Dunia


Filem epik yang mencetus fenomena, "Star Wars: The Force Awakens", berjaya memecahkan rekod dunia selepas mengutip AS$528 juta (RM2.26 bilion) pada tayangan pembukaan minggu pertamanya, minggu lepas.

Jangkaan awal bahawa filem ini tidak mampu mengatasi rekod kutipan yang dibuat filem Jurassic World ternyata meleset.

Sebelum selesai tayangan minggu pertama, filem ini dijangka tak mampu meraih kutipan lebih dari AS$517 juta (RM2.22 bilion).

Namun fenomena luar biasa telah menjadikan rekod kutipan tertinggi AS$524.9 juta (RM2.25) milik filem Jurassic World kini jatuh ke tangga 2.

Memetik laporan mStar, Ketua Pegawai Eksekutif Disney, Bob Iger berkata bahawa jumlah kutipan tersebut sangat mengagumkan beliau tambahan pula China masih belum membenarkan filem berkenaan ditayangkan di negara tersebut.

“Kutipan ini mengagumkan kerana negara China masih belum menayangkan filem ini, saya harus katakan jumlah kutipan adalah lebih tinggi berbanding apa yang kita ramalkan,” katanya.


Lebih menarik, Star Wars The Force Awakens dilaporkan terpilih dalam senarai 10 filem yang akan bersaing bagi kategori kesan khas terbaik di anugerah Oscar, bersaing dengan Ant Man, Ex Machina, Tomorrowland, The Walk, The Martian, Mad Max: Fury Road dan The Revenant.

Walau bagaimanapun, senarai akhir pencalonan bagi kategori ini hanya akan diketahui pada 14 Januari depan. -Kedahnews.com