IMAM surau Al Hijrah Kuala Kedah, Nasir Abas (kiri), akan dibantu oleh rakannya Fisol Hassan, berlari secara solo dari Stadium Shah Alam ke Stadium Darul Aman |
KUALA KEDAH - Pemegang rekod Malaysia Book Of Record pada 2002 dan 2013 dari Taman Sri Putra di sini, akan melakukan misi larian solo sempena perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 antara pasukan Kedah dan Selangor, 11 Disember ini .
Nasir Abas, 60, akan memulakan misi larian solonya bermula dari Stadium Shah Alam ke Stadium Darul Aman pada 12 Disember ini bagi membuktikan sokongan terhadap pasukan Kedah yang berjaya ke perlawanan akhir.
Menurutnya, dia tetap meneruskan misi itu walaupun Kedah tidak membawa pulang Piala Malaysia.
"Saya akan memulakan larian ini keesokan harinya selepas perlawanan akhir dengan diiringi sebuah kenderaan.
"Saya juga mensasarkan akan menamatkan misi larian ini sejauh 435 kilometer (km) melalui beberapa laluan dalam tempoh 10 hari," katanya.
Katanya, dalam larian itu, dia juga akan berlari lebih kurang enam jam sehari bagi setiap check point.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai persediaan dalam memulakan misi berkenaan, Nasir berkata, dia tidak melakukan latihan istimewa, namun dia tetap memberi penekanan dari segi kesihatan dan pemakanan.
"Walaupun tidak membuat latihan, tetapi saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melakukan misi ini," katanya yang berharap misinya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Nasir yang juga imam Surau Hijrah yakin pasukan Kedah mampu mempamerkan aksi terbaik dan memberi komitmen tinggi dalam merebut gelaran juara nanti.
Sebelum ini, pada 2002, Nasir mencipta nama tersendiri apabila menamatkan larian sejauh 1,754 km dari Kelantan ke Perlis selama 30 hari.
Malah, bekas tentera berkenaan mengulangi sejarah kejayaannya apabila berlari sejauh 2,068 km selama 53 hari dari Tawau hingga Kuching pada 2003.
Kelab penyokong buat kain rentang gergasi
Bagi memeriahkan lagi perlawanan akhir itu, Kelab Penyokong Kuala Kedah juga membuat kain rentang gergasi berwarna hijau kuning demi memberi sokongan padu kepada pasukan Kedah.
Ketua penyokong Kuala Kedah, Shahril Anwar Ilias, 32, berkata, idea untuk membina kain rentang berkenaan diperoleh selepas mereka menyaksikan perlawanan Piala Malaysia antara Kedah dan Pahang tahun lalu.
“Kami mengambil inisiatif membina kain rentang berukuran 9.1 x 4.6 meter hasil sumbangan penyokong Kedah.
"Beberapa penyokong setia sanggup membelanjakan kira-kira RM200 dan kami mengambil masa lebih kurang seminggu untuk mewarnakan kain rentang ini," katanya.
Dalam pada itu, katanya, mereka juga akan mengadakan konvoi melibatkan tiga bas dari Kedah ke Selangor bermula seawal jam 8 pagi pada Sabtu ini.
"Saya harap pasukan Kedah akan meraih kejuaraan dalam perlawanan berkenaan sekali gus membawa pulang Piala Malaysia.
"Saya yakin pasukan Kedah mampu menang dengan kekuatan ditonjolkan pemain sekali gus mengalahkan Selangor dengan keputusan 2-0 nanti," katanya.
Remaja sindrom down turut beri sokongan
Keterujaan ahli Kelab Penyokong Kuala Kedah turut dirasai oleh seorang remaja sindrom down, Khairul Azhar Salleh, 16.
Menurut ibunya, Jauwiah Ismail, 55, anak bongsu dari lima beradik itu meminati pasukan Kedah sejak kecil.
"Azhar juga sentiasa menonton siaran langsung melibatkan pasukan Kedah yang disiarkan di televisyen dan kami tidak boleh menukar siaran lain.
"Azhar juga akan marah sekiranya diusik mengenai pasukan kesukaannya itu,” katanya.
Bagaimanapun pelajar kelas khas Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, tidak dapat menyaksikan perlawanan akhir di stadium atas faktor yang tidak dapat dielakkan.
Namun Khairul Azhar diberi peluang untuk sama-sama mewarnakan kain rentang Penyokong Kuala Kedah yang akan dipasang dalam stadium Sabtu ini.
Sumber: Sinar Harian