Lelaki Bakar 6 Kereta Berhampiran Amcorp Mall Direman 4 Hari


KUALA LUMPUR – Suspek lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian kebakaran enam buah kereta di tempat letak kenderaan di Taman Jaya, Petaling Jaya, semalam ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata suspek lelaki yang berusia lingkungan 20-an itu, direman hari ini sehingga Jumaat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat menggunakan api,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kejadian pada 12.58 tengah hari semalam, enam buah kereta terbakar selepas suspek terbabit didakwa membaling botol berisi petrol yang dinyalakan api ke arah tempat duduk belakang sebuah kereta di tempat letak kereta di kawasan berkenaan.

Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada masalah rumah tangga sepasang suami isteri yang sedang dalam proses penceraian. – BERNAMA