Lelaki Ini Satu-Satunya Pencacah Tatu Guna Kaki Di Dunia


Kekurangan dirinya yang tidak memiliki kedua belah tangan sejak dilahirkan tidak mematahkan semangat Brian Tagalog untuk meneruskan kehidupan sehariannya seperti individu normal lain di luar sana.

Berbekalkan bakat dan kreativitinya dalam bidang lukisan tatu, Brian, 27, akhirnya berjaya membuka sebuah kedai mencacah tatu, Tattoo by Foot di Arizona, Amerika Syarikat.

Kepayahannya mendapatkan pekerjaan di beberapa kedai tatu sebelum ini telah menguatkan azam Brian untuk berjaya dan akhirnya kini dia boleh tersenyum bangga apabila diiktiraf merupakan satu-satunya pencacah tatu menggunakan kaki yang ada di seluruh dunia.

Jejaka kelahiran Hawaii ini berharap kejayaannya itu mampu memberikan inspirasi kepada golongan kurang upaya bahawa tiada perkara yang mustahil sekiranya segala impian dititipkan dengan usaha dan kerja keras demi meraih kejayaan di kemudian hari. –Kedahnews.com