Lima Pesawat TUDM Sudah Sedia Untuk Misi Bantuan Banjir

Gambar Hiasan
PETALING JAYA – Lima buah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersiap-sedia untuk membantu operasi menghadapi banjir kali ini.

Panglima TUDM Jen Datuk Seri Roslan Saad berkata lima aset yang terlibat itu ialah ialah tiga helikopter EC725, sebuah helikopter jenis Nuri dan sebuah pesawat C130.

“TUDM bersedia untuk menambah bilangan aset bergantung kepada situasi banjir dan jumlah itu sudah memadai buat masa ini.

“Selain aset yang terlibat, anggota TUDM juga telah bersedia untuk membantu mangsa banjir dengan fokus utama diberikan di negeri pantai timur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2015, di Pangkalan Udara TUDM di Subang, di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 45 anggota TUDM berpangkat Laskar udara Kanan (LUK) telah dinaikkan pangkat Koperal Udara (Kpl U).

Dalam perkembangan lain, Roslan berkata TUDM dijangka akan menerima lima buah pesawat Pilatus PC-7 Mark II pada Jun tahun depan.

Sehingga kini, TUDM mempunyai 16 buah pesawat itu dengan tambahan lima lagi pada tahun depan menjadikan TUDM mempunyai 21 buah PC-7 Mark II yang akan digunakan untuk latihan pelatih juruterbang, katanya.

Pada masa sama, pihaknya juga dijangka menerima pesawat Airbus A400M yang kedua hujung bulan ini selepas menerima pesawat pertama pada 9 Mac lalu.

Pesawat A400M mempunyai jangkauan operasi yang lebih jauh serta berkeupayaan untuk mengangkut kapasiti kargo yang lebih besar. – BERNAMA