Lima Remaja Johor Mengaku Tak Bersalah Rogol Gadis Bawah Umur


JOHOR BAHARU - Lima remaja lelaki termasuk seorang juvana mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam terhadap pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur, September lepas.

Muhammad Nuzul Ikhram Nurallail, 19, Mohamad Ridzuan Mohd Asri, 19, Muhammad Saiful Fauzi, 18, Muhammad Azlan Md Lazan, 19, serta juvana berumur 16 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Kesemua mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas dituduh merogol remaja perempuan berumur 14 tahun di tandas awam taman rekreasi, Taman Setia Tropika, Kempas, di sini, kira-kira pukul 12.30 malam hingga pukul 2 pagi, 30 Sept lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim dan tiada jaminan ditawarkan terhadap kesemua mereka.

Mohamad Haldar menetapkan 30 Dis ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Sumber: mStar