Liridon Krasniqi |
Kuala Lumpur - Pemain import Kedah, Liridon Krasniqi mengakui keadaan padang yang tidak rata menyukarkan mereka untuk bermain seperti selalu iaitu menggunakan corak permainan tiki-taka ala Barcelona.
Krasniqi yang terkenal dengan kelincahan dan hantaran tepat ke arah rakan, menyangkal dia tidak mendapat ruang serta dikawal ketat pemain lawan sebaliknya keadaan padang menyebabkan mereka tidak boleh beraksi dengan sempurna.
“Memang saya rasa teruja dan gembira kerana sepanjang karier sebagai pemain bola sepak ini kali pertama saya beraksi di pentas akhir namun saya sedih kerana kami hanya mampu muncul naib juara,” kata pemain antarabangsa Kosovo itu.
Pemain berusia 25 tahun itu mengakui skuad Kedah musim ini amat mantap dan dia masih berbangga dengan beberapa kejayaan terutama sekali selepas muncul juara Liga Perdana seterusnya mara ke Liga Super musim depan.
“Kami kurang bernasib baik hari ini (kelmarin) tapi kami harap tahun depan mampu memberikan aksi lebih baik,” katanya.
Bekas pemain kelab Mlada Boleslav (Republik Czech) dan Ankaraspor (Turki) itu mengucapkan tahniah kepada Selangor yang berjaya muncul juara dengan menumpaskan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam kelmarin.
Sumber: myMetro