Mahfuz Akui Melayu Kembali Bersatu Jika UMNO - PAS Bekerjasama?

Datuk Mahfuz Omar
KUALA LUMPUR – Pemimpin PAS, Datuk Mahfuz Omar mengakui orang Melayu akan kembali bersatu sekiranya PAS menerima jalinan kerjasama dengan UMNO seperti yang disebut Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Beliau berkata, kerjasama PAS dengan UMNO akan memberi kelebihan kepada UMNO dan PAS kerana kaum Melayu di kedua-dua belah parti akan kembali menyokong sesama mereka.

“Najib sudah dapat membaca dan berusaha untuk menjadikan perpecahan undi Melayu hanya tinggal pada dua kelompok sahaja iaitu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN).

“Inilah lontaran hasrat kerjasama dengan PAS di sebalik kalimah Silaturrahim. Najib juga mengharapkan jika kerjasama ini menjadi kenyataan, UMNO akan mendapat limpahan sokongan undi melayu daripada PAS.

“Dan PAS juga akan mendapat limpahan sokongan undi Melayu daripada UMNO,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Menurut Mahfuz, adalah mustahil PAS akan menyertai Pakatan Harapan kerana ketegangan politik PAS dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) sukar untuk diredakan.

Ia tetap mustahil walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) berusaha memujuk PAS. Justeru, beliau melahirkan rasa kesal kerana pemimpin atasan PAS enggan menyertai Pakatan Harapan.

Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO 2015 pada Khamis menegaskan parti itu bersedia menghulurkan ukhuwah dengan PAS demi perpaduan agama Islam dan bangsa Melayu.

Lucunya, kenyataan itu mendapat kecaman teruk beberapa pemimpin Pakatan Harapan dengan mendakwa kononnya kerjasama itu berbaur perkauman demi ketuanan Melayu. – Agensi