Malam Jumaat Malam Tahun Baru, Amanah Ajak Berhimpun Tunjuk Perasaan


KUALA LUMPUR – Selepas mengganggu kemeriahan orang ramai menyambut sambutan ambang kemerdekaan pada Ogos lalu, kumpulan propembangkang merancang mengadakan perhimpunan secara besar-besaran pada malam sambutan tahun baru 2016.

Malam tahun baru 2016 jatuh pada malam Jumaat, malam ini.

Perhimpunan yang kononnya bagi membantah kenaikan kos sara hidup itu mahu diadakan di Plaza Tol PLUS Sungai Besi di sini yang pasti menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk pada malam tersebut sekali gus menyukarkan orang ramai yang mahu menyertai sambutan berkenaan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub bagaimanapun mendakwa, perhimpunan itu perlu dilakukan berikutan keputusan kerajaan menaikkan kadar tol di lapan lebuh raya pada tahun hadapan.

“Mewakili Amanah, saya menyeru seluruh rakyat dan warga prihatin untuk menyokong himpunan aman ‪#‎ShutdownSungaiBesi‬ yang akan berlangsung di Plaza Tol PLUS Sungai Besi pada malam Sambutan Tahun Baru nanti.

“Rakyat perlu berani membuat perubahan khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang sebagai usaha menamatkan segala masalah negara yang telah dilakukan oleh kerajaan,” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam.

Tuduhan kononnya kerajaan yang menaikkan kadar tol tersebut bagaimanapun tidak berasas kerana keputusan itu dibuat oleh syarikat-syarikat konsesi lebuhraya Malaysia.

Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) pada 13 Oktober lalu memaklumkan syarikat konsesi berbuat demikian kerana ia terkandung dalam perjanjian dimeterai dengan kerajaan pada tahun 80-an di bawah Dasar Penswastaan Lebuh Raya Bertol.

Ia berikutan keputusan kerajaan untuk tidak terus menanggung pampasan sehingga ratusan juta ringgit yang dibayar kepada syarikat konsesi lebuh raya dalam usaha mengekang kenaikan kadar tol selama ini. –Kedahnews.com