Ariadna Gutierrez |
LAS VEGAS — Gemerlapan dewan The Axis di bandar raya terbesar negeri Nevada ini meninggalkan kepahitan buat Miss Colombia, Ariadna Gutierrez, mangsa ‘salah sebut’ oleh pengacara Miss Universe 2015, Steve Harvey.
Ratu dari negara Amerika Latin itu pada awalnya diumumkan menjadi pemenang Miss Universe 2015 ternyata harus berlapang dada lantaran juara yang berhak sebenarnya ialah Miss Philippines, Pia Alonzo Wurtzbach.
Tangis kegembiraan Gutierrez langsung berubah menjadi tangis kepiluan seusai segala mahkota dan selendang Miss Universe 2015 yang dikenakan pada dirinya harus berpindah tangan kepada pemilik baharu, Wurztabach.
Miss Universe 2014, Paulina Vega yang juga berasal dari Colombia, mulanya bergembira bersama Gutierrez di atas pentas, berubah terpaksa menenangkan juniornya yang tidak kuasa menahan sedih dan malu drama live tersebut.
Miss Indonesia, Anindya Kusuma Putri, pun tampak bersama-sama dengan beberapa peserta dari negara lainnya menenangkan Gutierrez di atas pentas tersebut sehingga di belakang tabir dewan pertandingan berprestij itu.
Menerusi akaun Instagram milik dirinya Dukung Puteri Indonesia @dpidamu, dia turut memuat naik foto menunjukkan keadaan sedih wajah Gutierrez yang menangis tersedu-sedu setibanya di belakang pentas tersebut.
Anindya berharap semoga Gutierrez dapat segera pulih daripada insiden ‘salah sebut nama’ yang tercatat sebagai detik paling memalukan dalam sejarah Miss Universe setelah berlangsung tanpa masalah selama 63 tahun.
Sementara itu di BOGOTA, Presiden Colombia pada 21 Disember, mengatakan bahawa beliau secara peribadi berasa amat terkejut ketika Miss Colombia itu menang sebelum segera kehilangan mahkota Miss Universe 2015.
“Saya tonton Miss Universe dengan keluarga saya. Kami mula berpesta ketika pengacara Harvey mengumumkan Colombia menang untuk kali kedua berturut-turut,” kata Juan Manuel Santos kepada stesen Radio Nacional.
“Bagi saya, ratu kami tetap menang Miss Universe. Mereka sudah memakaikan mahkota di kepalanya. Foto-foto di sana membuktikannya. Bagi saya, sebagai seorang warga Colombia, dia masih tetap Miss Universe,” tegasnya.
Santos menilai insiden tersebut mengejutkan. “Ratu kami luar biasa. Dia tampak hebat. Sungguh kecewa ketika pengacara itu tiba-tiba katanya telah buat kesalahan,” jelasnya yang dipetik oleh agensi berita antarabangsa AFP.
Beliau secara terbuka pernah merayakan kemenangan wakil negara itu ketika Miss Colombia sebelumnya, Paulina Vega Deippa, dinobatkan sebagai Miss Universe 2014 yang diadakan di Doral, Florida, Amerika Syarikat (AS).
Kesalahan pengumuman Miss Universe 2015 oleh pelawak terkenal AS iaitu Harvey malah turut menjadi topik perbincangan panas media sosial Colombia, selain berita utama halaman depan semua akhbar negara tersebut.
“Colombia sekali lagi menjuarai Miss Universe tetapi hanya dua minit!” kata sinis harian El Tiempo, manakala akhbar El Espectador meletakkan tajuk besar: “Miss Universe tanpa mahkota.” – Agensi