Mangsa Lemas Di Hulu Terengganu Seorang Imam Surau Pemurah Ilmu

Keluarga malang yang mati lemas dalam tragedi lemas ketika mandi di kawasan Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu semalam. - Foto BERNAMA
KUALA SELANGOR – Abdul Halim Samian, 44; imam surau yang mati lemas ketika mandi bersama keluarga di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu pada Sabtu, merupakan dermawan dan tidak lokek kongsi ilmu agama.

Anggota Jawatankuasa Lajnah Dakwah Surau Al-Fuqran Fasa 2, Bandar Puncak Alam, Ahmad Latphy Ismail berkata, arwah yang juga imam di situ mewakafkan sebuah rumah teres dua tingkat bagi dijadikan sekolah agama.

“Arwah juga pelopor kepada projek infak barangan dapur untuk fakir miskin di kawasan ini dan sangat mengambil berat mengenai hal kebajikan anggota kariahnya,” kata Ahmad Latphy ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Turut terkorban dalam kejadian itu ialah isteri Abdul Halim, Nurul Adila@Salawati Awang, 39; dan tiga anak perempuan mereka – Nurul Arifah, 16; Nurul Aina, 11; dan Nurul Izah, 10.

Anak bongsu kepada pasangan tersebut, Mohd. Hasif Abdul Halim, 9; bagaimanapun selamat dan kini menjadi yatim piatu.

Seorang lagi anggota jawatankuasa kariah surau berkenaan, Aziz Maharom pula menyifatkan Abdul Halim seorang yang tidak lokek dalam berkongsi ilmu agama.

“Arwah aktif mengajar pelbagai kelas agama di surau ini antaranya kelas pengajian al-Quran, kelas pengendalian jenazah, kursus pelaksanaan ibadah korban dan kursus nikah kahwin.

“Kehilangan arwah semestinya akan amat dirasai kerana arwah sekeluarga sentiasa meluangkan masa di surau ini walau sibuk mengendalikan urusan perniagaannya,” katanya.

Beliau berkata difahamkan kesemua mangsa akan dikebumikan di kampung isteri Abdul Halim di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu pada Ahad. – BERNAMA