Azhar Ghazali dan Ella sewaktu majlis pernikahan mereka tiga tahun lalu. |
SETELAH tiga tahun mendirikan perkahwinan, ratu rock negara Ella dan suami, Azhar Ghazali merancang untuk mengambil anak angkat kerana setakat ini rezeki masih belum berpihak kepada mereka untuk mempunyai anak.
Ella atau nama sebenarnya Norzila Kamarudin, 49, berkata dia dan suaminya sudah lama memikirkan mengenai hal itu selepas teruja melihat ramai rakan selebriti lain melakukan perkara yang sama.
“Memandangkan kami masih belum mempunyai anak, saya dan suami terfikir juga untuk ambil anak angkat. Rasa seronok pula lihat rakan-rakan yang jaga anak angkat. Apatah lagi kita buat kebajikan membantu anak-anak yang tiada keluarga.
“Sehingga kini kami masih berusaha untuk dapatkan anak dan jujurnya kami tidak tertekan kerana percaya Allah tentukan rezeki kami. Setiap hari orang bertanya, “bila nak ada anak” dan kami dah lali dengan soalan seperti itu,” kata Ella.
Namun tambahnya, hajat itu tidak boleh dilakukan dalam masa terdekat kerana jadualnya yang padat sehingga ke tahun hadapan.
Semoga hasrat Ella untuk memiliki anak akan dimakbulkan suatu hari nanti.
Sumber: mStar