Mat Sentol |
ALOR SETAR - Pelawak veteran Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rasip Yahya menafikan cakap-cakap yang tersebar di laman sosial yang mendakwa kononnya dia kini hidup melarat.
Mat Sentol yang kini berusia 82 tahun menjelaskan bahawa gambar viral yang memaparkan dia sedang berjalan kaki itu sebenarnya bukan membawa erti dia melarat, sebaliknya aktiviti itu merupakan antara rutin hariannya untuk menjaga kesihatan.
"Kehidupan saya alhamdulillah baik dan saya tidak tahu kenapa orang berkata saya sebegitu. Mereka mungkin tidak pernah nampak saya berjalan kaki seorang diri.
Sudah menjadi rutian harian saya setiap petang akan berjalan kaki di kawasan sekitar atau ke bandar sebagai senaman demi menjaga kesihatan," katanya dalam satu kenyataan kepada media, baru-baru ini.
Kenyataan Mat Sentul itu turut disahkan anaknya, Rosdin Abdul Rasip, 50, yang menjelaskan bahawa bapanya berada dalam keadaan baik dan kini tinggal bersamanya di Johor Baru.
Kata Rosdin, foto menggambarkan kehidupan bapanya melarat sebagaimana yang disangka warga netizen adalah tidak benar sama sekali.
"Saya tidak tahu mengapa mereka berkata demikian dan mungkin juga mereka ada niat baik untuk membantu ayah saya.
"Tapi buat masa ini kehidupan dia baik bersama keluarga kami. Semua yang dikatakan di laman sosial tidak benar," ujarnya kesal dengan spekulasi terhadap bapanya itu.
Tambahnya, Mat Sentol memang mengamalkan berjalan kaki di sekitar bandar sebagai salah satu rutin hariannya.
"Itu memang menjadi rutin harian, kesihatan dia baik cuma kadang-kadang sakit lutut tapi kalau kami larang dia berjalan... dia tidak mahu dengar.
"Alhamdulillah ramai pemandu teksi yang kenal bapa dan sentiasa akan memastikan jika dia berasa penat akan ada menghantarnya pulang ke rumah," jelasnya lagi. -Kedahnews.com