Matlamat #2016: Negara Kekal Selamat, Makmur Dan Sama Rata - Mohd Najib


KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil keputusan yang tegas, perlu dan tepat bagi mencapai matlamat Malaysia untuk kekal sebagai sebuah masyarakat yang lebih selamat, makmur dan sama rata pada tahun 2016, kata Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata keputusan seperti itu akan dibuat sungguhpun ia tidak popular dalam usaha melindungi rakyat daripada kesengsaraan akibat keganasan.

“Untuk melindungi perpaduan yang amat berharga, yang melindungi kepelbagaian kita yang unik dan untuk memelihara masa depan cerah yang merupakan hak lahir bagi setiap rakyat Malaysia.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa berusaha dengan segala kekuatan yang ada,” kata Najib dalam perutusan tahun baharu beliau hari ini.

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Beliau turut mengingatkan semua rakyat Malaysia agar tidak mengambil mudah soal keselamatan dan memandang rendah terhadap bahaya yang jelas serta wujud yang dihadapi dari luar dan dalam negara. – BERNAMA