ZAKAT merupakan salah satu tiang terpenting dalam Islam di mana termaktub sebagai rukun Islam yang wajib dipatuhi. Ini dapat dibuktikan dengan penentangan Saidina Abu Bakar terhadap orang yang enggan membayar zakat.
Mengapakah Saidina Abu Bakar memerangi golongan yang enggan membayar zakat? Kesombongan golongan ini yang telah mempermainkan ajaran Islam dengan mentafsirkan ayat berkenaan zakat sesuka hati menyebabkan mereka ditentang habis-habisan oleh Saidina Abu Bakar r.a.
Para ahli tafsir seperti Imam Al-Qurthubi dan Ibnu Kathir telah menerangkan dalam kitab tafsir mereka bahawa golongan ini telah mentafsir secara membuta tuli ayat 103 dalam surah At-Taubah yang bermaksud;
“Ambillah (wahai Muhammad) sebahagian daripada harta mereka”.
Golongan ini mengatakan bahawa ayat tersebut menunjukkan setelah Nabi Muhammad S.A.W wafat, maka zakat tidak perlu dibayar lagi! Sedangkan, kewajipan membayar zakat berterusan sama dengan kewajipan menunaikan solat walaupun setelah kewafatan Rasulullah S.A.W.
Maka, apabila telah cukup syarat-syaratnya, seseorang muslim itu hendaklah mengeluarkan zakat. Jika tidak, dia berdosa kerana tidak memenuhi hak asnaf yang berhak menerima zakat.
Harta yang statik apabila cukup nisab dan haulnya, perlu dikeluarkan zakat. Sebaliknya, jika harta itu dijadikan modal, sebahagian keuntungan kasar yang terhasil boleh digunakan untuk membayar zakat tanpa mengurangkan modal asal.
Zakat yang diterima oleh fakir miskin pula dapat membantu mereka untuk memenuhi keperluan harian mereka seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kita tidak mahu keluarga muslim ini mendapatkan bantuan makanan dan kewangan daripada tempat-tempat yang tidak sepatutnya seperti mana yang pernah terjadi sebelum ini.
Walaupun pada asasnya tindakan keluarga muslim ini tidak salah, namun adalah lebih afdal apabila institusi zakat sendiri yang turun padang menolong keluarga yang kurang berkemampuan ini.
Berdasarkan laporan tahunan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tahun 2013, sebanyak RM72.32 juta zakat telah diagihkan kepada 20,050 orang fakir miskin dan mu’allaf untuk menampung perbelanjaan keperluan asasi. Sebanyak RM4.46 juta pula telah dibelanjakan untuk bantuan tempat tinggal.
Bagi asnaf fakir miskin yang mampu bekerja, zakat boleh diberikan kepada mereka dalam bentuk modal bagi memulakan perniagaan.
Ini termasuklah pemberian alatan kerja yang sesuai dengan pekerjaan yang dilakukan seperti pemberian skim deposit sewa beli teksi kepada asnaf yang mahu menceburkan diri dalam perkhidmatan teksi dan juga peralatan perniagaan seperti mesin jahit dan peralatan memasak kepada asnaf yang telah memulakan perniagaan kecil-kecilan.
Berdasarkan laporan yang sama, MAIWP juga telah mengagihkan sebanyak RM1.39 juta bantuan deposit sewa beli teksi kepada 287 pemandu teksi dan RM4.3 juta bantuan alatan kepada 881 peniaga asnaf.
Pemberian modal ini juga sedikit sebanyak boleh mengelakkan golongan asnaf ini dibebani hutang bank, lebih-lebih lagi jika hutang itu daripada institusi kewangan yang berunsurkan riba. Apabila golongan asnaf yang mampu bekerja ini diberi bantuan modal, mereka diharap akan dapat menyara hidup diri sendiri dan keluarga, sekali gus menjadi pembayar zakat pula di masa depan.
Di samping bantuan sara hidup untuk memenuhi keperluan harian asnaf, aspek pendidikan juga adalah satu keperluan. Dengan zakat, pendidikan sempurna dapat diberikan kepada anak-anak asnaf ini dan seterusnya mampu membentuk generasi celik ilmu dan berdaya saing dalam kalangan mereka.
Di samping itu juga, MAIWP telah mengagihkan hampir RM40 juta untuk bantuan persekolahan dan universiti untuk anak-anak asnaf ini yang berada di dalam dan luar Negara.
Sehubungan dengan itu, institusi zakat negeri-negeri perlu terus efisien dalam tugas pengagihan zakat supaya proses pembangunan asnaf ini berlangsung dengan jayanya. Masyarakat juga perlu sedar bahawa zakat hanya boleh diberikan kepada golongan asnaf.
Asnaf pula bertanggungjawab untuk menggunakan zakat sebagaimana yang telah diperuntukkan dan dipertanggungjawabkan tanpa sebarang penyelewengan atau tersasar daripada objektif asal.
Penyalahgunaan zakat boleh dikategorikan sebagai pengambilan hak orang lain secara zalim dan batil. Ini boleh dirujuk secara jelas dari sabda Nabi Muhammad S.A.W dalam sebuah hadis sahih terhadap golongan seperti ini:
“Aku ini hanyalah manusia, dan kamu selalu membawa kes pertikaian untuk aku selesaikan. Mungkin sesetengah daripada kamu lebih cekap berhujah daripada sebahagian yang lain, dan aku putuskan hukuman berdasarkan apa yang aku dengar sahaja. Oleh itu, apabila aku (tersalah) menjatuhkan keputusan yang sebenarnya mengambil hak orang lain, maka janganlah seseorang (yang tiada hak) itu mengambilnya, kerana hak yang diambil itu adalah satu bahagian dari api neraka”.
Akhir sekali, diharapkan sistem pelaksanaan zakat di negara ini terutamanya dan negara Islam yang lain secara umumnya sentiasa bertambah baik dari masa ke semasa dalam memastikan proses kutipan dan pengagihan dilaksanakan secara efisien.
Semoga dengan pelaksanaan rukun Islam ini dapat terus menyucikan harta pembayar zakat dan membantu golongan asnaf supaya sama-sama membentuk ke arah masyarakat yang diredai oleh Allah SWT.
*Zafri Ab. Halim, PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Great Eastern Takaful Berhad/Utusan