Menjejak Kampung Special Constable Di Changlun, Kedah

Gambar Hiasan
KUBANG PASU - Mungkin tidak ramai yang mengetahui akan kewujudan sebuah kampung yang terletak di Changlun, di daerah Kubang Pasu yang sebenarnya mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

Kampung itu diberi nama Kampung Special Constable atau lebih dikenali sebagai Kampung SC. Ia merupakan tanah yang dianugerahkan kepada para Special Constable (SC) ketika itu atas jasa mereka memberi perlindungan kepada rakyat dan membantu tugas polis ketika itu.

Malah jika ditanya mengenai sejarah dan maksud sebenar nama kampung itu, ramai yang pasti tidak mengetahui kenapa ia dinamakan SC atau kewujudan kampung itu sendiri.

SPECIAL CONSTABLE WIRA NEGARA

Hasil kajian melalui aktiviti turun padang Bernama bersama dengan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) baru-baru ini, penulis berkesempatan menyertai PSMCK mengumpul data-data dengan bertemu responden yang memberikan maklumat berkenaan SC.

Salah seorang waris menunjukkan salah satu pangkat digunakan oleh SC pada ketika itu Foto Bernama
Ketua Biro Kaji Selidik PSCMK Dr Mohd Kasri Saidon berkata SC merupakan satu pasukan yang diwujudkan untuk memperkukuh strategi pertahanan di bawah Rancangan Briggs pada 1948.

Rancangan yang diperkenalkan Sir Harold Briggs itu melalui strategi menempatkan kampung-kampung di pinggir hutan ke kampung baru dan menyekat makanan dan bantuan daripada sampai kepada Komunis.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden Universiti Utara Malaysia berkata pada ketika itu jumlah Komunis adalah amat ramai dan anggota polis sedia ada ketika itu tidak mencukupi untuk menentang mereka.

"Pada masa itu orang-orang tempatan diperlukan untuk membela tanah air dan ketika itulah pasukan Special Constable diwujudkan, yang membela kita pada masa itu kebanyakannya adalah anak-anak tempatan Malaya berjuang lawan Komunis," katanya.

KAMPUNG SC KERANA KEBERANIAN

Dr Mohd Kasri berkata disebabkan keberanian dan semangat ditunjukkan SC terbabit, pada 1958, di penghujung zaman Darurat, satu kawasan tanah dianugerahkan kerajaan kepada seramai 17 SC pejuang rakyat yang dengan sukarela memikul tugas menjadi mata-mata tambahan kerajaan.

Salah seorang waris kepada anggota SC berkenaan, Hajah Kamaliah Saad berkata SC pada ketika itu diberi pilihan sama ada mahu diberikan bendang ataupun tanah.

Rata-rata mereka memilih tanah seluas tujuh relung (dua hektar) di kawasan itu yang akhirnya dibentuk satu perkampungan dinamakan Kampung SC.

Turut diberi bersama tanah itu katanya adalah sebuah rumah kampung dengan dua bilik tidur yang seni binanya agak moden ketika itu.

RUMAH PENINGGALAN KAMPUNG SC TERBIAR

Bagaimanapun sehingga kini, hanya ada satu sahaja tinggalan rumah itu dalam keadaan tidak terpelihara serta terbiar. Rumah itu yang kini tidak berpenghuni terletak betul-betul di tengah kampung.
Inilah satu-satunya rumah peninggalan yang dihadiahkan kepada SC. Foto: Bernama
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung SC, Mohammad Khir Harun, 51, sehingga kini tiada papan tanda yang menunjukkan kewujudan kampung dan rumah-rumah itu.

"Kami minta kerajaan negeri bantu untuk bangunkan kampung ini dan warisan rumah yang ada ini, ini satu warisan sejarah yang tidak ternilai," katanya menambah sehingga kini terdapat kira-kira 300 penduduk di kampung terbabit.

Pada masa yang sama Pengerusi PSMCK Datuk Wan Shamsuddin berkata walaupun kesemua SC zaman dahulu sudah tiada, beliau berharap kampung dan peninggalan rumah sedia ada dipulihara.

"Kita mahu semua generasi kenal dan tahu pengorbanan mereka ini, jasa mereka tidak boleh dinafikan terutama dalam memperoleh kemerdekaan negara," katanya. - BERNAMA