Mercu Ikonik Kedah Masjid Zahir Sudah Cecah Usia 100 Tahun


ALOR SETAR – Pada 15 Oktober lalu, Masjid Zahir yang terletak di tengah-tengah Bandar Raya Alor Setar mencecah usia 100 tahun dengan majlis sambutannya dijadual diadakan pada April 2016.

Sesungguhnya masjid ini yang juga merupakan Masjid Diraja mempunyai pelbagai keunikan antaranya kubah hitam besar dikelilingi lima kubah kecil melambangkan lima rukun Islam dan lima waktu solat fardu.

Menceritkan sejarah masjid ini yang juga dikenali sebagai Masjid Zahrah, Imam Satu Masjid Zahir, Ustaz Mohd. Isa Abd Rahman berkata masjid ini dibina pada 11 Mac 1912.

Ia hasil cetusan idea Tunku Mahmud Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah yang merupakan Presiden Majlis Negeri Kedah serta adinda kepada Sultan Kedah Ke-26, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Dan ia dirasmikan pada 15 Oktober 1915 oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Yang menariknya ialah sempena majlis perasmian tersebut, Tunku Mahmud telah membaca khutbah Jumaat manakala Sultan Abdul Hamid Halim Shah sendiri mengimamkan solat Jumaat.

Mohd. Isa berkata satu lagi kaitan menarik ialah pada zaman dahulu nobat dimainkan daripada Balai Nobat yang terletak berhampiran, apabila masuk waktu solat sebelum azan dialunkan dari Masjid Zahir.

“Ini bagi memberitahu terutama kepada masyarakat Islam di sekitar Alor Setar mengenai waktu solat. Orang zaman dahulu tidak mempunyai kemudahan jam untuk mengetahui waktu solat.

“Selain bunyi nobat, bunyi jam besar yang terletak berdekatan masjid turut menjadi panduan masuk waktu solat fardu bagi orang ramai di ibu negeri Kedah ini,” katanya.

Kedua-dua Bangunan Jam Besar dan Balai Nobat dibina seiring dengan pembinaan Masjid Zahir, jelas Mohd. Isa lagi. Reka bentuk masjid ini diilhamkan daripada Masjid Azizi di Langkat, Sumatera Utara, Indonesia.

Tapak masjid ini asalnya ialah tanah pusara wira-wira Kedah yang gugur semasa mempertahankan negeri itu daripada serangan tentera Siam pada 1821.

Antara keunikan lain Masjid Zahir yang bercirikan seni bina timur tengah ini ialah ia mempunyai 261 batang tiang daripada empat jenis iaitu tiang sebatang, tiang kembar dua, tiang kembar tiga dan tiang kembar empat.


Kesemua tiang tersebut diperbuat daripada batu dan simen.

“Tiang berkembar empat digunakan untuk menahan berat kubah induk yang binaannya diambil daripada bentuk seni bina Greek ‘corinthian’ serta dihiasi dengan ukiran berkonsepkan flora,” katanya.

Beliau berkata selaras dengan peredaran masa, Masjid Zahir diubah suai sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1960 dan 1975 dengan melakukan pembaharuan pada beberapa bahagian masjid.

Di belakang Masjid Zahir, terdapat Kompleks Mahkamah Syariah dan Pusat Pendidikan Asas Kanak-Kanak. Bangunan ini juga terletak berhadapan dengan Balai Nobat dan Istana Pelamin.

Masjid ini merupakan antara mercu tanda seni bina negeri Kedah dan antara masjid tercantik di Malaysia. Tidak jauh dari Masjid Zahir terdapat bangunan tumpuan pelancong lain.

Antaranya ialah Galeri Sultan Abdul Halim, Balai Nobat, Balai Besar, Balai Seni Negeri, Pekan Rabu, Rumah Merdeka dan Menara Alor Setar. – BERNAMA