#MH370: Misi Pencarian Kini Berada Di Kawasan Yang Tepat


CANBERRA - Setelah lebih setahun hilang tanpa sebarang petunjuk meyakinkan, misi pencarian MH370 tetap diteruskan dengan usaha daripada pelbagai pihak di seluruh dunia.

Hasilnya, kini analisis terbaharu menunjukkan bahawa lokasi pencarian pesawat yang hilang tersebut berada di kawasan yang betul.

Pasukan mencari dan menyelamat telah melakukan operasi pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi sejak Oktober tahun lalu namun hanya berjaya menemui sirip pesawat tersebut di Pulau Reunion, Julai lalu.

Memetik laporan Berita Harian, menerusi analisis sebuah agensi Kementerian Pertahanan di sana, mereka yakin yang kawasan pencarian terkini merupakan lokasi terakhir pesawat tersebut sebelum hilang.

Justeru, proses pencarian akan difokuskan kepada lokasi tersebut yang terletak lebih 1,800 kilometer di sekitar barat daya Australia.

Pesawat MH370 milik Malaysia Airlines hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014 bersama 239 orang penumpang dan anak kapal. -Kedahnews.com