Dr Siti memangku Mohd Hasif ketika ditemui pemberita di Kampung Serdang Baru, Kuala Nerus, semalam. |
KUALA TERENGGANU - Mohd Hasif Abdul Halim, satu-satunya yang terselamat dalam tragedi lima beranak mati lemas di sebuah kawasan air terjun di Hulu Terengganu masih lagi trauma dan dihantui detik hitam itu.
Apabila dia terdengar berita di televisyen atau orang ramai bercakap mengenai tragedi tersebut, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu akan segera berlalu pergi kerana tidak mahu mengingatkan dirinya dengan nasib yang menimpa lima ahli keluarganya yang lain.
Ibu saudara kepada Mohd Hasif, Dr Siti Sabariah Samian, seorang doktor dari Kuala Langat, Selangor berkata anak saudaranya itu menjadi seorang yang pendiam dan tidak mahu bercakap dengan sesiapa selepas tragedi tersebut.
"Dia masih lagi ingat setiap detik yang berlaku. Dia melihat bagaimana seorang demi seorang ibu dan bapa serta adik-beradiknya dibawa arus deras, menyebabkan dia menjadi anak yatim piatu dalam sekelip mata," katanya kepada pemberita di rumah ibunya di Kuala Nerus pada Ahad.
Selepas solat Subuh pada pagi Ahad, Mohd Hasif menangis buat pertama kalinya.
"Pada sebelah petang, dia baharu sahaja makan selepas peristiwa tersebut," kata Dr Siti.
Dalam insiden pada Sabtu lalu, Mohd Hasif melihat lima ahli keluarganya dibawa pusaran air dekat air terjun itu hingga kesemuanya lemas.
Mangsa yang maut adalah seorang jurutera yang juga imam, Abdul Halim Samian, 44, Nurul Adila @Salwati Awang, 39, Nurul Arifah, 16, Nurul Aina, 11, dan Nurul Izah, 10.
Kesemua mangsa berasal dari Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor.
Dr Siti berkata adalah lebih baik jika Mohd Hasif mengikut mereka pulang ke Selangor kerana kanak-kanak itu amat rapat dengan dua sepupunya.
"Ini adalah sesuatu yang kami percaya dia tidak akan lupakan tetapi berada bersama dengan anak lelaki saya, diharap, mereka boleh memberi sokongan dan membantunya untuk pulih," kata Dr Siti.
Ketika Dr Siti bercakap kepada pemberita, Mohd Hasif yang duduk di atas pangkuannya hanya menundukkan kepalanya.
Sumber: mStar