Mohd Najib Terpaksa Perbetul Fakta Diseleweng Pihak Tertentu


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa memperbetulkan fakta yang diselewengkan pihak tertentu ketika memberikan Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015.

Demikian kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sambil menyifatkan Najib perlu berbuat demikian supaya semua perwakilan dari 191 Umno bahagian mendapat penjelasan sebenarnya.

"Walaupun perkara-perkara ini sudah dijelaskan berkali-kali oleh beliau, namun presiden terpaksa menjelaskan sekali secara rasmi kepada perwakilan pada Taklimat Presiden malam ini.

"Ini kerana rasional yang diberikan itu memang terbukti sebagai sesuatu yang tidak melibatkan wang yang diambil dari 1MDB atau wang diambil dari dana awam (wang rakyat)," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata, dalam taklimat itu, tiga perkara yang disentuh Najib dalam taklimat tersebut iaitu cabaran ekonomi, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion.

"Sejak beliau mengambil alih (negara) pada 2009, KDNK (keluaran dalam negara kasar) meningkat kepada RM326 bilion.

"Bursa Saham pula meningkat kepada 1,700 indeks, manakala Pelaburan Terus Asing (FDI) pula meningkat kepada RM27 bilion," jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata lagi, Najib turut menyentuh isu derma RM2.6 bilion dan mendedahkan bahawa penderma dana politik itu tidak memerlukan balasan daripada sumbangan itu.

"Beliau menyatakan, mana-mana parti politik perlukan dana, wang atau dana ini sebagai alat dan bukan matlamat.

"Beliau sudah menyarankan supaya undang-undang mengenai dana politik ini dibentangkan di Dewan Rakyat, tetapi pembangkang tidak mahu undang-undang ini dibentangkan," ujarnya.

Tambah beliau, Najib turut mempertahankan tindakan rasionalisasi 1MDB apabila menjual aset tenaga milik Edra Energy kepada firma China dengan harga RM17 bilion.

"Kita terpaksa menolak tawaran daripada TNB kerana tawaran TNB RM2.3 bilion lebih rendah daripada tawaran CGN.

"Jika TNB diberikan peluang, akan timbul permasalahan seolah-olah bailout kerajaan terhadap 1MDB," tegasnya.

Sementara itu, pada sidang media sama, Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, suasana taklimat berjalan dengan aman dengan semangat kekeluargaan menerima baik penjelasan Najib.

"Tiga perkara itu diterima baik perwakilan, ini amalan kita bahawa ucapan dasar Presiden akan sentuh perkara yang melihat jatuh bangunnya bangsa, agama dan tanah air.

"Kalau Umno tak dijaga dengan baik akan menjadi berpecah dan wujud serpihan," katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian